Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF nilai semua pilihan misil anti kapal selepas pembatalan NSM

MINDEF nilai semua pilihan misil anti kapal selepas pembatalan NSM

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 23 JUN– Kementerian Pertahanan sedang menilai semua opsyen bersesuaian bagi perolehan sistem peluru berpandu untuk kapal Littoral Combat Ship (LCS) susulan keputusan Norway tidak meneruskan penghantaran sistem pertahanan yang telah dipersetujui.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan Norway itu tidak menjejaskan kesiapsiagaan operasi semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut beliau dalam penyataan jawapan lisan Parlimen, ATM masih mempunyai aset dan sistem persenjataan sedia ada yang mampu melaksanakan tugas mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.

“Bagi mengelakkan sebarang jurang keupayaan pada masa hadapan, Kementerian sedang giat menilai semua opsyen yang bersesuaian untuk perolehan sistem peluru berpandu bagi kapal Littoral Combat Ship (LCS),” katanya.

Beliau berkata, penilaian itu mengambil kira keperluan operasi ATM, risiko rantaian bekalan, perkembangan geopolitik semasa serta kepentingan strategik negara.

Dalam jawapan berasingan, Mohamed Khaled berkata, berhubung perolehan sistem misil anti kapal, Kementerian Pertahanan melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengambil pendekatan terbuka, profesional dan tidak terikat kepada mana-mana negara atau pembekal tertentu.

Katanya, semua cadangan pilihan yang berpotensi memenuhi keperluan operasi ATM akan melalui proses penilaian teknikal, operasi, keperluan integrasi, keupayaan misil, kos perolehan, logistik, komersial serta risiko menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau menjawab soalan Tuan Tan Kok Wai (Cheras) sama ada kementerian akan menilai tawaran misil anti kapal daripada Rusia, China, India atau Turkiye selepas Norway membatalkan penjualan misil NSM.

Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan berpandukan tiga prinsip utama dalam pertimbangan tersebut, iaitu mengutamakan perolehan secara kerajaan-ke-kerajaan (G2G), memastikan kebebasan operasi ATM terus terpelihara dan meneruskan dasar mempelbagaikan sumber perolehan persenjataan.

Katanya, prinsip tersebut selaras dengan dasar berkecuali Malaysia supaya negara tidak bergantung kepada mana-mana satu negara atau pembekal.

Pada masa sama, beliau berkata ATM terus mengekalkan tahap kesiapsiagaan operasi melalui penggunaan aset dan sistem persenjataan sedia ada bagi memastikan keupayaan cegah rintang serta pertahanan maritim negara berada pada tahap diperlukan. -airtimes.my

KATA KUNCI : Angkatan Tentera Malaysia (ATM)Beritakesiapsiagaan ATMLCSLittoral Combat ShipMINDEFMisil Anti-KapalMohamed Khaled NordinNSMPeluru Berpanduperolehan pertahananpertahanan maritimTLDM

Leave a Reply