Home Pertahanan dan KeselamatanNSM: Malaysia tolak perolehan aset yang jejas kebebasan operasi ATM

NSM: Malaysia tolak perolehan aset yang jejas kebebasan operasi ATM

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Malaysia tidak akan menerima sebarang perolehan aset strategik yang boleh mewujudkan kebergantungan melampau kepada pihak luar atau menjejaskan kebebasan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu menjadi pertimbangan utama Kementerian Pertahanan dalam menilai perolehan sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM).

Menurut beliau dalam penyataan jawapan lisan Parlimen, kementerian sedang menilai semua opsyen yang bersesuaian secara menyeluruh dan profesional, tanpa terikat kepada mana-mana negara tertentu.

“Malaysia tidak akan menerima sebarang perolehan aset strategik yang boleh mewujudkan kebergantungan melampau atau memberikan ruang kepada mana-mana pihak luar untuk mempengaruhi keputusan operasi, penggunaan aset atau dasar pertahanan negara,” katanya.

Beliau berkata, sebarang sistem yang diperoleh mestilah membolehkan ATM mengoperasikan aset tersebut secara bebas, selamat dan berkesan selaras dengan kepentingan nasional.

Mohamed Khaled menjawab soalan Tuan Pang Hok Liong (Labis) mengenai sama ada kerajaan akan mengkaji semula hasrat membeli sistem peluru berpandu NSM susulan kebimbangan terhadap kebergantungan kepada sistem persenjataan asing.

Menurut beliau, penilaian perolehan NSM bukan sahaja mengambil kira keupayaan teknikal dan kos, malah turut meliputi aspek geopolitik, jaminan rantaian bekalan, pemindahan teknologi, keselamatan data serta kebebasan operasi ATM.

Katanya, Kementerian Pertahanan berpandukan tiga prinsip utama dalam pertimbangan tersebut, iaitu mengutamakan perolehan secara kerajaan-ke-kerajaan (G2G), memastikan kebebasan operasi ATM terus terpelihara dan meneruskan dasar mempelbagaikan sumber perolehan persenjataan.

Beliau berkata, dasar mempelbagaikan sumber perolehan itu selaras dengan dasar berkecuali Malaysia supaya negara tidak bergantung kepada mana-mana satu negara atau pembekal.

“Sebarang keputusan berkaitan pemilihan sistem persenjataan akan dibuat berdasarkan keperluan operasi ATM, kepentingan strategik negara, prinsip tadbir urus yang baik serta perlindungan mutlak terhadap kedaulatan negara,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply