KUALA LUMPUR, 23 Jun – Kementerian Pertahanan belum membuat keputusan muktamad berhubung pelaksanaan fasa kedua perolehan pesawat Light Combat Aircraft (LCA) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menteri Pertahanan memaklumkan, kementerian sedang menilai beberapa opsyen bagi memenuhi keperluan keupayaan pesawat tempur ringan TUDM.
Menurut beliau, penilaian itu merangkumi sama ada kerajaan akan meneruskan perolehan fasa kedua LCA ataupun mempertimbangkan pilihan lain yang lebih bersesuaian dengan keperluan operasi semasa serta perancangan jangka sederhana dan jangka panjang TUDM.
“Sehingga kini, belum ada keputusan muktamad berhubung pelaksanaan fasa kedua perolehan tersebut.
“Justeru, perkara berkaitan pendaftaran projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta anggaran kos juga masih belum dimuktamadkan,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan status perolehan fasa kedua LCA untuk TUDM, sama ada ia berjaya didaftarkan untuk diperoleh di bawah RMK13 serta kos diperlukan.
Menteri Pertahanan berkata, apa jua keputusan yang diambil kelak, kementerian akan memastikan setiap perolehan dilaksanakan secara telus, berhemat dan memberikan nilai terbaik kepada kerajaan.
Katanya, perolehan itu juga perlu memenuhi keperluan operasi dan kesiagaan TUDM.
Perkembangan itu hadir ketika TUDM sedang bersiap sedia menerima pesawat FA-50 bagi perolehan LCA Batch 1, dengan 2 pesawat pertama dijangka tiba pada Oktober ini.
TUDM sebelum ini menyatakan bahawa persiapan di Pangkalan Udara Kuantan bagi menempatkan pesawat berkenaan sudah melebihi 90 peratus siap, sekali gus membolehkan proses penerimaan aset baharu itu berjalan mengikut jadual.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, hanya kerja-kerja kecil masih berbaki, manakala struktur utama fasiliti berkenaan telah siap untuk menyokong pengoperasian FA-50.
Selain aspek prasarana, TUDM turut melaksanakan persediaan modal insan dengan 6 juruterbang kini menjalani latihan dan proses kelayakan di Korea.
Anggota teknikal termasuk jurutera, mekanik dan juruteknik turut dihantar bagi memastikan pasukan sokongan tempatan bersedia sebelum pesawat itu mula dioperasikan.
FA-50 dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh latihan juruterbang TUDM, khususnya selepas penamatan khidmat pesawat latih lanjutan Aermacchi, selain membantu mempercepatkan peralihan kepada pengoperasian jet pejuang pada masa hadapan.
Pesawat terakhir bagi Batch 1 dijadual tiba pada Mac 2028.
Program perolehan LCA/FLIT TUDM digerakkan bagi memperkukuh keupayaan latihan lanjutan dan tempur ringan negara, selain menyokong pelan pembangunan keupayaan TUDM di bawah CAP55.
Bagi fasa pertama, kerajaan telah memuktamadkan perolehan 18 pesawat FA-50M daripada Korea Aerospace Industries (KAI). Surat setuju terima bagi perolehan itu ditandatangani pada Februari 2023, sebelum perjanjian tersebut dimuktamadkan semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23).
Perolehan bernilai RM4.08 bilion itu menjadikan FA-50M sebagai antara aset utama dalam usaha pemodenan TUDM, khususnya bagi mengisi keperluan pesawat tempur ringan dan latihan lanjutan selepas penamatan khidmat platform lama.
FA-50M merupakan varian yang dibangunkan berdasarkan keperluan Malaysia, dengan keupayaan lebih moden berbanding pesawat latihan dan tempur ringan sedia ada. Platform itu dijangka memainkan peranan penting dalam mempercepatkan latihan juruterbang tempur serta menyediakan laluan peralihan kepada pengoperasian pesawat pejuang generasi lebih tinggi.
Dalam konteks asal perancangan, program LCA turut dilihat melibatkan keperluan tambahan bagi fasa kedua. Namun, keputusan terbaharu Kementerian Pertahanan menunjukkan pelaksanaan fasa kedua masih belum dimuktamadkan, termasuk sama ada kerajaan akan meneruskan perolehan tambahan FA-50M atau mempertimbangkan opsyen lain yang lebih sesuai dengan keperluan operasi TUDM. – airtimes.my
