KUANTAN, 20 Jun 2026 – Tentera Udara Diraja Malaysia hari ini menerima penyerahan rasmi Sistem Persenjataan FN MAG 58M 7.62mm bagi helikopter EC 725 AP/H225M, sekali gus meningkatkan lagi keupayaan operasi Combat Search and Rescue (CSAR) di kawasan berisiko tinggi.
TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa perolehan sistem persenjataan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan kesiapsiagaan serta keberkesanan aset udara selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau CAP 55.
Menurut TUDM, helikopter EC 725 AP/H225M merupakan antara aset utama yang mampu melaksanakan pelbagai misi, termasuk CSAR, bantuan kemanusiaan, pengangkutan taktikal serta operasi khas.
“Bagi memenuhi keperluan operasi CSAR yang memerlukan perlindungan kendiri semasa berada di kawasan ancaman, TUDM telah melaksanakan perolehan awal sistem persenjataan untuk dipasang pada helikopter EC 725 AP/H225M,” menurut kenyataan itu.
TUDM berkata, sistem berkenaan akan meningkatkan tahap keselamatan anak kapal serta anggota yang terlibat dalam misi menyelamat. Keupayaan itu turut membolehkan operasi dilaksanakan dengan lebih berkesan dan selamat ketika berdepan persekitaran ancaman.
Kerajaan Malaysia sebelum ini menandatangani Letter of Acceptance bersama syarikat pembuat senjata dari Belgium, FN Herstal, bagi perolehan lima unit mesingan FN MAG 58M berkaliber 7.62mm.
Menurut TUDM, senjata berkenaan merupakan antara sistem persenjataan yang telah terbukti keberkesanannya serta digunakan secara meluas oleh angkatan tentera di seluruh dunia.
Sebelum penyerahan rasmi dilaksanakan, proses Final Acceptance Test telah dijalankan bermula 30 Mac hingga 4 Jun 2026. Proses itu melibatkan No 10 Skuadron di Pangkalan Udara Kuantan serta No 5 Skuadron di Pangkalan Udara Labuan.
Pengujian tersebut bertujuan memastikan setiap sistem memenuhi spesifikasi teknikal, standard keselamatan serta keperluan operasi yang ditetapkan oleh TUDM.
Majlis penyerahan rasmi sistem persenjataan itu disempurnakan oleh wakil Airbus Helicopters, Axel de Pascal selaku Managing Director, kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.
Penyerahan sistem FN MAG 58M itu memberi nilai tambah kepada kesiagaan helikopter EC 725 AP/H225M, khususnya dalam menyokong misi menyelamat tempur yang menuntut perlindungan kendiri serta tindak balas pantas.-airtimes.my
