Home Pertahanan dan KeselamatanNadi Perdagangan Global: Trafik Selat Melaka Tiga Kali Ganda Atasi Selat Hormuz

Nadi Perdagangan Global: Trafik Selat Melaka Tiga Kali Ganda Atasi Selat Hormuz

PHN berkata kepadatan laluan di Selat Melaka jauh mengatasi Selat Hormuz, sekali gus menjadikan data hidrografi penting bagi memastikan keselamatan pelayaran dan kelancaran perdagangan global.

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Selat Melaka mencatatkan kepadatan trafik maritim kira-kira tiga kali ganda lebih tinggi berbanding Selat Hormuz, sekali gus meletakkan kedudukannya sebagai antara laluan perdagangan paling penting di dunia.

Ketua Pengarah Hidrografi, Laksamana Muda Dr Najhan Md Said berkata, walaupun perhatian dunia ketika ini banyak tertumpu kepada Selat Hormuz berikutan implikasinya terhadap bekalan tenaga global, kepentingan Selat Melaka tidak boleh dipandang ringan.

“Kita sering mendengar pandangan orang ramai mengenai laluan-laluan yang penting, contohnya Terusan Suez, Terusan Panama dan sekarang orang memperkatakan tentang Selat Hormuz.

“Namun sebenarnya, Selat Melaka merupakan laluan yang paling penting. Dari segi kepadatan laluan, kita jauh tiga kali ganda lebih padat daripada Selat Hormuz,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sambutan Hari Hidrografi Sedunia 2026 yang diadakan oleh Pusat Hidrografi Nasional (PHN), hari ini.

Menurut beliau, kepentingan Selat Melaka turut diiktiraf dalam industri perkapalan antarabangsa menerusi konsep “Malaccamax”, iaitu ukuran yang digunakan dalam reka bentuk kapal berdasarkan had kedalaman laluan tersebut.

Ketua Pengarah Hidrografi, Laksamana Muda Dr Najhan Md Said, menyempurnakan perasmian Hari Hidrografi Sedunia 2026 bersama warga Pusat Hidrografi Nasional di PHN, Klang, hari ini. Foto: AirTimes/M.Daim

Dr Najhan menjelaskan, pembinaan kapal bersaiz besar perlu mengambil kira titik paling cetek di Selat Melaka yang mempunyai kedalaman sekitar 25 meter.

“Ramai yang tidak tahu bahawa wujud juga rujukan yang disebut sebagai ‘Malaccamax’ dalam pembinaan kapal.

“‘Malaccamax’ menunjukkan bahawa pembinaan kapal, tidak kira sebesar mana sekalipun, perlu mengambil kira laluan yang paling cetek di Selat Melaka, iaitu pada kedalaman 25 meter,” katanya.

Beliau berkata, penentuan dan pemantauan kedalaman perairan merupakan antara fungsi utama bidang hidrografi bagi memastikan keselamatan pelayaran sentiasa terpelihara.

Dalam ucapan beliau, Dr Najhan turut menegaskan bahawa data hidrografi yang tepat, terkini dan boleh dipercayai kini menjadi aset strategik negara yang menyokong keselamatan pelayaran, perdagangan maritim, pengurusan sumber marin serta pembangunan ekonomi berasaskan lautan.

Beliau menambah, Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang terletak di persimpangan laluan perdagangan global amat bergantung kepada maklumat marin yang berkualiti bagi menjamin kelancaran aktiviti maritim negara.

“Data hidrografi yang diperoleh dengan tepat dan dikongsikan secara terbuka adalah asas kepada keselamatan pelayaran ini.

“Inilah makna sebenar ‘Transforming How Ocean Data is Shared’, iaitu usaha bagi melestarikan data hidrografi sebagai senjata ampuh dalam menjamin keselamatan pelayaran serantau serta menyokong kestabilan ekonomi dunia,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan Selat Melaka tidak boleh dipikul oleh satu agensi semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama berterusan antara semua pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan domain maritim negara.

Hari Hidrografi Sedunia disambut pada 21 Jun setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan hidrografi dalam keselamatan pelayaran, perdagangan maritim, perlindungan alam sekitar marin dan pembangunan ekonomi global.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply