Teknologi ketenteraan adalah teknologi untuk digunakan dalam peperangan. Ia terdiri daripada jenis teknologi yang bersifat ketenteraan dan bukan awam dalam perlaksanaan.
PÍSEK-KRAŠOVICE, 13 FEB – Airbus telah berjaya melaksanakan ujian penerbangan bagi perisian kecerdasan pasukan yang membolehkan operasi autonomi kumpulan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dalam masa nyata.
Demonstrasi yang dilaksanakan di Lapangan Terbang Písek-Krašovice, Republik Czech, telah membuktikan bagaimana teknologi ini membolehkan pengendali di darat atau juruterbang pesawat mengawal beberapa UAV serentak.
Menurut Airbus dalam satu kenyataan, keupayaan ini akan mengurangkan beban tugas seperti pemantauan dan pemeriksaan kawasan luas, serta membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada objektif misi.
“Demonstrasi itu turut menunjukkan keupayaan perisian Airbus untuk berintegrasi dengan aplikasi pihak ketiga,” jelas Airbus.
Tambahnya, keupayaan integrasi dengan aplikasi pihak ketiga selain selain perisian Pengecaman Sasaran Automatik (ATR) milik Airbus membuktikan teknologi ini boleh diintegrasikan dengan mana-mana sistem UAS tanpa mengira pengeluarnya.
Terdahulu, Airbus dengan kerjasama Primoco telah menguji perisian kecerdasan pasukan UAV. Ujian ini melibatkan 2 buah UAV Primoco One 150
Kedua-dua UAV telah diterbangkan ke kawasan sasaran dan dilengkapi dengan perisian kecerdasan pasukan yang dihasilkan oleh Airbus.
“Dengan menggunakan perisian ATR berasaskan kecerdasan buatan oleh Airbus, kedua-dua UAV telah berjaya mengesan ancaman dan sasaran secara serentak,
“Salah satu daripada UAV terbabit berjaya mengenal pasti sistem pertahanan udara musuh dan kemudiannya menghantar kedudukan serta amaran kepada stesen kawalan darat,” jelas Airbus.
Demonstrasi itu turut menyaksikan penggunaan 2 UAV bagi tujuan berbeza.
“UAV pertama bertanggungjawab mengawasi kawasan sasaran dan mengesan ancaman menggunakan ATR, manakala UAV kedua berada dalam mod bersedia,
“Sebaik sahaja UAV pertama mengesan ancaman, ia menggunakan perisian kecerdasan pasukan untuk menugaskan UAV kedua mengenal pasti ancaman dan melaporkannya ke stesen kawalan,
“UAV pertama meneruskan pemantauan bagi mengesan sebarang ancaman lain,” kata Airbus.
Namun begitu, syarikat aeroangkasa Eropah itu menjelaskan ujian yang dilaksanakan tidak merangkumi tindak balas terhadap ancaman.
“Secara teori, ancaman yang dikesan oleh UAV akan digempur oleh juruterbang jet pejuang dengan berdasarkan data sasaran yang diterima,” ujarnya.
Dalam pada itu, Airbus menyatakan pihaknya kini dalam fasa untuk memantapkan lagi teknologi ini agar ia boleh digunakan pada platform udara yang lain termasuk helikopter, pesawat dan UAV.
“Airbus juga merancang untuk mengintegrasikan lebih banyak komponen perisian pihak ketiga seperti ATR automatik,
“Keupayaan ini bukan sahaja untuk kegunaan ketenteraan, tetapi juga boleh digunakan dalam pemeriksaan infrastruktur kritikal dan aplikasi bukan tempur lain,” katanya. – airtimes.my
#AirTimes #Airbus #UAV #AI #Pertahanan