Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia berhasrat bawa rakyat Palestin terima rawatan di Hospital Angkatan Tentera

Malaysia berhasrat bawa rakyat Palestin terima rawatan di Hospital Angkatan Tentera

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 24 Jul – Malaysia berhasrat untuk membawa rakyat Palestin yang tercedera dan memerlukan perhatian perubatan segera untuk menerima rawatan di negara ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat Palestin yang cedera itu akan diberikan rawatan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) di Malaysia.

“Selain daripada membincangkan mengenai soal hubungan dan kerjasama pertahanan antara dua negara, ia turut tertumpu kepada perkembangan serta situasi yang sedang berlaku di Palestin,

“Malaysia berhasrat untuk membawa rakyat Palestin yang tercedera dan memerlukan perhatian perubatan segera ke Malaysia, bagi menerima rawatan di HAT di Malaysia,

“Hasrat ini kini berada di peringkat akhir kelulusan pihak kerajaan Mesir,” katanya dalam satu hantaran di laman media sosialnya, pada Rabu.

Terdahulu, beliau meraikan Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr dalam satu majlis makan malam, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Mesir atas bantuan yang diberikan untuk melaksanakan inisiatif terbaharu Malaysia membantu rakyat Palestin.

Dalam hantaran yang sama, beliau bagi pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Mesir yang telah membantu menjayakan pembukaan Pejabat Penasihat Pertahanan Malaysia yang ke-27 di Mesir yang telah mula beroperasi sejak Jun lalu.

“Kedua-dua buah negara memberikan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan antara negara, termasuklah melalui perjanjian persefahaman dalam kerjasama pertahanan yang akan dimeterai kelak,” ujarnya lagi. -airtimes.my

#pertahanan #Malaysia #Mesir #HAT #Palestin #rawatan

Leave a Reply