Home GlobalUkraine mahu pesawat MiG-29 Poland dinaik taraf sebelum diserahkan

Ukraine mahu pesawat MiG-29 Poland dinaik taraf sebelum diserahkan

Ukraine dilaporkan mahu pesawat MiG-29 milik Poland disesuaikan dengan keperluan medan tempur moden sebelum menerimanya, manakala Warsaw tidak bersetuju menanggung kos naik taraf tersebut.

by M.Daim
A+A-
Reset

WARSAW, 18 Jun – Penghantaran tambahan pesawat pejuang MiG-29 Poland ke Ukraine masih tergantung selepas Kyiv dilaporkan mahu pesawat itu dinaik taraf terlebih dahulu, manakala Warsaw pula belum mencapai persetujuan berhubung pemindahan teknologi dron sebagai sebahagian daripada perjanjian timbal balik.

Timbalan Menteri Pertahanan Poland, Paweł Zalewski mendedahkan bahawa Ukraine tidak berminat menerima MiG-29 dalam keadaan sedia ada.

“Ukraine mahu MiG-29 itu disesuaikan dengan keperluan tempur moden. Pada masa ini, pihak kami tidak berminat dan tidak bersetuju untuk menanggung kos tersebut,” katanya dalam temu bual bersama RMF FM, lapor Polska Zbrojna.

Selain isu kos, penghantaran tersebut yang dipanggil perjanjian “MiG-29 untuk teknologi dron” belum dapat dilaksanakan kerana ketiadaan persetujuan muktamad.

“Rundingan itu belum dimuktamadkan,” katanya.

Seorang lagi Timbalan Menteri Pertahanan Poland, Cezary Tomczyk menjelaskan, Warsaw menuntut Kyiv berkongsi kepakaran teknologi pengeluaran dan pengoperasian dron sebagai timbal balik kepada pemindahan pesawat pejuang tersebut.

“Dialog sedang berjalan. Jika persetujuan pemindahan teknologi ini dimuktamadkan, isu (penyerahan MiG-29) ini akan berjaya diselesaikan,” kata Tomczyk kepada Radio ZET.

Laporan Polska Zbrojna menyebut rundingan antara kerajaan mengenai perjanjian “MiG-29 untuk teknologi dron” telah dimaklumkan oleh Kementerian Pertahanan Nasional Poland pada hujung tahun lalu.

Cadangan perjanjian itu mula diumumkan oleh Kementerian Pertahanan Nasional Poland lewat tahun lalu, membabitkan potensi penyerahan sembilan lagi MiG-29 kepada Ukraine. Sebagai ganti, Poland mahu menggunakan kepakaran dron Ukraine untuk membangunkan keupayaan dron domestiknya sendiri.


Kerajaan Poland telah menghantar 14 buah MiG-29 kepada Ukraine. Pada ketika ini, penghantaran 9 buah MiG-29 tambahan ke Kyiv masih lagi menjadi tanda tanya. /Foto: Tentera Udara Poland


Dalam pada itu, Zalewski menafikan dakwaan bahawa kelewatan tersebut berpunca daripada ketegangan diplomatik berhubung isu sejarah. Beliau menegaskan isu MiG-29 tidak wajar dikaitkan dengan bantahan Presiden Institut Peringatan Kebangsaan (IPN), Karol Nawrocki berhubung tindakan Ukraine menamakan unit tentera sempena Ukrainian Insurgent Army (UPA).

Poland sebelum ini merupakan antara negara pertama yang menghantar pesawat tempur kepada Ukraine selepas pencerobohan penuh Rusia pada 2022.

Menurut National Security Bureau Poland, Warsaw telah menyerahkan 14 pesawat MiG-29 dan 12 helikopter Mi-24 kepada Tentera Udara Ukraine bagi memperkukuh keupayaan negara itu.

MiG-29 milik Poland secara berperingkat digantikan oleh pesawat lebih baharu, termasuk FA-50 dan F-35.

Pada Januari lalu, Poland dilaporkan meluluskan penghantaran sembilan lagi MiG-29 kepada Ukraine, namun penghantaran tersebut belum dibuat berikutan rundingan teknikal dan perjanjian timbal balik yang masih belum selesai.

Perjanjian keselamatan Poland-Ukraine sebelum ini turut membuka ruang kepada Warsaw untuk mempertimbangkan penghantaran tambahan sekurang-kurangnya satu skuadron MiG-29 kepada Ukraine, tertakluk kepada keselamatan dan keupayaan operasi Tentera Udara Poland. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply