TEHRAN, 27 APR – Pasukan teknikal persenjataan dan pakar pemusnah bom Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dilaporkan berjaya menemui satu unit peluru berpandu penembus kubu (Bunker Buster) GBU-57 milik Amerika Syarikat (AS) dalam keadaan fizikal yang sempurna. Penemuan aset strategik seberat 907 kilogram (2,000 paun) yang ini memberikan peluang kritikal kepada Tehran untuk membedah teknologi dan sistem persenjataan AS.
Penemuan peluru berpandu penembus kubu yang utuh ini dianggap sebagai pencapaian teknikal yang signifikan kerana GBU-57 merupakan senjata khusus yang direka untuk memusnahkan fasiliti bawah tanah.
Menurut IRGC, kejayaan meneutralkan mekanisme letupan tanpa merosakkan komponen dalaman membolehkan unit penyelidikan dan pembangunan (R&D) Iran melaksanakan proses kejuruteraan balikan (reverse engineering) secara menyeluruh bagi memahami algoritma panduan serta teknologi penderia yang digunakan.
Teknologi persenjataan AS bakal terbongkar
Selain unit yang ditemui utuh di wilayah Zanjan, pihak IRGC turut mengesahkan bahawa tiga lagi unit daripada model yang sama telah berjaya dikesan oleh pasukan pakar pemusnah bom. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga unit berkenaan terpaksa dimusnahkan melalui letupan terkawal di lokasi penemuan atas faktor kestabilan bahan peledak yang berisiko tinggi kepada keselamatan persekitaran.

Penemuan bangkai bom milik AS yang didakwa gagal meletup, membuka peluang kepada pasukan teknikal Iran untuk meneliti struktur dalaman dan teknologi persenjataan berkenaan secara dekat. Foto: IRGC
Pihak IRGC dalam kenyataan rasminya menegaskan kepentingan penemuan aset-aset canggih ini untuk tujuan penyelidikan ketenteraan.
“Kebanyakan aset yang ditemui merangkumi siri GBU, BLU, serta beberapa varian termaju buatan AS. Mekanisme letupan aset-aset ini dikesan gagal berfungsi dan membolehkan pasukan pakar kami memperolehnya dalam keadaan fizikal yang utuh,
“Susulan kejayaan misi ini di lapangan, kesemua kelengkapan ini telah dihantar ke kemudahan teknikal dan penyelidikan untuk tujuan kejuruteraan balikan secara komprehensif.” jelas IRGC dalam kenyataan tersebut.
Kenyataan itu jelas menyatakan bahawa Iran bakal membongkar teknologi di sebalik senjata terbabit.
Kejuruteraan balikan bukanlah sesuatu yang baharu untuk Iran
Keupayaan Iran dalam melakukan kejuruteraan balikan teknologi ketenteraan asing bukanlah satu perkara baharu dalam landskap industri pertahanan rantau tersebut.
Sejarah membuktikan Tehran mempunyai kecekapan tinggi dalam membedah aset tentera asing, bermula dengan pendaratan paksa dron RQ-170 Sentinel pada tahun 2011 yang kemudiannya membawa kepada penghasilan varian Shahed 171 Simorgh dan Saegheh.
Selain teknologi pesawat tanpa pemandu (UAS), Iran juga telah membuktikan keupayaan dalam rantaian pengeluaran komponen tempatan bagi mengekalkan kesiagaan jet pejuang F-14 Tomcat dan menaik taraf sistem peluru berpandu anti armor BGM-71 TOW. Kedua-dua sistem persenjataan ini merupakan aset yang diimport dari AS sebelum pemerintahan Shah Iran digulingkan oleh revolusi pada 1979.
Walaupun masih terlalu awal untuk menjangkakan hasil daripada kajian Iran, namun penemuan persenjataan yang masih utuh dan dalam keadaan baik merupakan langkah kanan buat Tehran.
Penemuan sebegini membolehkan Iran melangkaui fasa penyelidikan teori dan terus kepada aplikasi praktikal bagi meningkatkan ketepatan serangan serta keupayaan menangkis ancaman udara pihak lawan. – airtimes.my
