Home GlobalPerancis, Itali bekerjasama bangunkan pemintas ancaman hipersonik

Perancis, Itali bekerjasama bangunkan pemintas ancaman hipersonik

Kerjasama itu sebahagian daripada komitmen Paris dan Rome memperkukuh projek keupayaan pertahanan bersama, termasuk pertahanan udara, maritim, ruang angkasa dan unit tempur robotik.

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

PARIS, 26 Jun – Perancis dan Itali akan memperkukuh kerjasama pertahanan dua hala, termasuk meneruskan projek pertahanan udara SAMP/T NG dan pembangunan pemintas masa depan bagi menghadapi ancaman hipersonik.

Komitmen itu dinyatakan dalam kenyataan bersama sempena Sidang Kemuncak Perancis-Itali ke-36 pada 25 Jun 2026, yang turut menggariskan hala tuju baharu kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara bagi tempoh 2026 hingga 2031.

“Kami akan terus melabur dalam pembangunan keupayaan pertahanan, menyumbang kepada kesiagaan pertahanan Eropah dengan cara yang membantu membina Eropah yang lebih kuat dalam NATO yang lebih kuat,” menurut kenyataan bersama itu.

Paris dan Rome turut menegaskan sokongan terhadap pembangunan asas teknologi dan industri pertahanan Eropah yang lebih kukuh, termasuk melalui Dana Pertahanan Eropah dan European Defence Industry Programme (EDIP).

Menurut kenyataan itu, kedua-dua negara komited membangunkan projek keupayaan bersama dalam sektor pertahanan, khususnya di bawah European Defence Projects of Common Interest (EDPCI), bagi menyumbang kepada autonomi strategik Kesatuan Eropah.

Bidang yang dikenal pasti termasuk ruang angkasa, maritim, pertahanan udara dan peluru berpandu bersepadu, unit tempur robotik bagi operasi darat serta pendekatan pertahanan Eropah secara menyeluruh.

Perancis dan Itali turut menyatakan matlamat membina asas industri pertahanan dan teknologi Eropah yang lebih berdaya saing, termasuk dengan meneruskan projek dua hala dalam pertahanan udara seperti SAMP/T NG dan pemintas masa depan terhadap ancaman hipersonik.

“Kami berkongsi matlamat untuk membina asas industri pertahanan dan teknologi Eropah yang berdaya saing, termasuk dengan memanfaatkan projek dua hala yang sedang berjalan dalam pertahanan udara, seperti SAMP/T NG dan pemintas masa depan terhadap ancaman hipersonik,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut menyebut bahawa pemuktamadan hala tuju pertahanan dua hala baharu bagi tempoh 2026 hingga 2031 serta penubuhan jawatankuasa strategik industri dua hala akan memperkukuh dialog antara Perancis dan Itali dalam isu pertahanan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply