WASHINGTON, 12 JUN – Tentera Darat Amerika Syarikat mengumumkan penamatan program perolehan kenderaan tempur M10 Booker susulan penilaian semula keutamaan strategik semasa di bawah inisiatif transformasi pasukannya.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh U.S. Army Public Affairs, kontrak pengeluaran awal kadar rendah (low-rate initial production) M10 Booker telah ditamatkan lebih awal atas alasan “termination for convenience”.
Pada masa sama, Tentera Darat AS tidak akan meneruskan fasa pengeluaran penuh seperti yang dirancang sebelum ini.
Keputusan ini dibuat bagi membolehkan dana berbaki untuk tahun fiskal 2025 digunakan bagi mempercepat penempatan sistem keupayaan tempur baharu yang bersifat lebih kritikal dan memberikan kelebihan ketenteraan yang lebih segera.
Tentera Darat AS turut menjangkakan penjimatan ketara akan dapat direalisasikan sepenuhnya dalam tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang hasil daripada penamatan program ini.

Demonstrasi tembakan langsung kenderaan tempur Tentera Darat Amerika Syarikat, M10 Booker di Aberdeen (Foto: Tentera A.S)
Kenderaan M10 Booker, atau nama asalnya Mobile Protected Firepower, dibangunkan oleh General Dynamics Land Systems selepas dianugerahkan kontrak pengeluaran awal kadar rendah pada Jun 2022. Ia bertujuan melengkapkan pasukan infantri dengan keupayaan tembakan langsung sambil mengekalkan mobiliti dan daya tahan.
Mempunyai berat kira-kira 38 tan serta dilengkapi meriam 105mm, M10 Booker direka agar boleh diangkut melalui udara menggunakan pesawat seperti C-17 dan C-130. Ia direka bagi memberikan perlindungan perisai ringan kepada pasukan infantri yang biasanya tidak mempunyai akses kepada sokongan kereta kebal berat.
Kontrak tersebut melibatkan pengeluaran sehingga 96 buah kenderaan tempur bagi tujuan pengoperasian awal. Namun, Pentagon kini mahu menumpukan pelaburan ke arah sistem peperangan yang lebih bersepadu, khususnya dalam konflik pelbagai domain seperti laut, darat, udara, siber dan teknologi generasi baharu.
Proses penamatan kontrak yang sedang berjalan kini akan menentukan pengurusan seterusnya ke atas baki aset dan kenderaan yang telah dihasilkan setakat ini. – airtimes.my
#AirTimes #Global #M10 Booker #USArmy