Home GlobalTrump umum capai perjanjian penuh pembukaan Selat Hormuz dengan Iran

Trump umum capai perjanjian penuh pembukaan Selat Hormuz dengan Iran

Presiden Amerika Syarikat turut mengarahkan penarikan segera sekatan laut AS, selain menyatakan perjanjian itu membuka laluan kepada kapal dunia melalui Selat Hormuz.

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

WASHINGTON, 15 JUN – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan perjanjian dengan Iran telah dimuktamadkan, sekali gus membolehkan Selat Hormuz dibuka semula kepada kapal antarabangsa.

Trump dalam satu kenyataan di media sosialnya berkata, beliau turut membenarkan penarikan segera sekatan laut Amerika Syarikat yang dikenakan di laluan strategik itu.

“Perjanjian dengan Republik Islam Iran kini lengkap. Tahniah kepada semua,” katanya di laman media sosial X.

Menurut Trump, pembukaan Selat Hormuz akan dilakukan tanpa bayaran tol, selain memberi isyarat kepada kapal dagang dunia untuk kembali menggunakan laluan tersebut.

“Kapal-kapal dunia, hidupkan enjin anda. Biarkan minyak mengalir,” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam kenyataan berasingan, Trump mendakwa perjanjian baharu dengan Iran itu berbeza daripada Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang dimeterai ketika pentadbiran Barack Obama.

Beliau turut mendakwa Iran tidak lagi mahu memperoleh senjata nuklear sama ada melalui pembelian, pembangunan atau bentuk perolehan lain.

Trump berkata, perjanjian itu dijadual ditandatangani dan selepas dimeterai, Selat Hormuz akan dibuka kepada semua.

Perkembangan itu menyusul selepas konflik Amerika Syarikat-Iran yang bermula pada 28 Februari lalu, apabila Washington melancarkan Operation Epic Fury terhadap sasaran di Iran.

Serangan itu dilaporkan turut melibatkan Israel dan disusuli tindak balas Iran terhadap kepentingan Amerika Syarikat serta sekutunya di rantau Teluk.

Sejak itu, Selat Hormuz menjadi antara titik utama ketegangan selepas laluan maritim berkenaan terjejas susulan perang tersebut. Selat itu merupakan laluan penting bagi pergerakan kapal dagang dan bekalan tenaga, khususnya minyak dari rantau Teluk ke pasaran antarabangsa.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply