Dahulu, kereta kebal adalah lambang mutlak kuasa tentera darat, dengan perisai besi yang tebal, meriam gergasi dan kemampuan meredah pelbagai rupa bumi, kehadirannya sahaja sudah cukup untuk melemahkan semangat musuh.
Dalam lipatan sejarah perang abad ke-20, kemaraan kereta kebal adalah gambaran mudah bagi satu serangan besar-besaran kerana ianya ibarat tembok besi bergerak yang merempuh barisan pertahanan musuh dan membuka jalan kepada pasukan lain.
Namun realiti medan perang moden tidak lagi memberi jalan semudah itu, perang di Ukraine telah membuka mata dunia kepada satu hakikat baharu. Kereta kebal utama atau main battle tank (MBT) seperti Leopard 2, Challenger 2 dan M1 Abrams masih diguna pakai, tetapi ia kini beroperasi dalam dunia yang jauh berbeza berbanding era Perang Teluk atau taktik pertempuran armor klasik.
Hari ini, pergerakan sebuah kereta kebal gergasi boleh dikesan dengan mudah oleh dron kecil yang berharga murah. Ia dipantau dari udara, disasarkan oleh artileri berketepatan tinggi, diserang peluru berpandu antikereta kebal (anti-tank guided missile – ATGM) dan sering diburu oleh dron pandangan orang pertama (first-person view – FPV).
Mitos “Zaman Kereta Kebal Sudah Berakhir”
Setiap kali kereta kebal mengalami kerugian besar dalam konflik moden, dakwaan yang sama pasti akan muncul iaitu “Zaman kereta kebal sudah mati.” Dakwaan ini mudah dipercayai kerana visual medan perang pada hari ini sangat pantas tersebar. Video di media sosial yang memaparkan dron kecil berjaya memusnahkan kereta kebal bernilai jutaan ringgit memberi kesan psikologi yang amat kuat kepada masyarakat awam.
Kereta kebal tidak menjadi alat usang semata-mata kerana ia boleh dimusnahkan. Realitinya, semua aset ketenteraan boleh musnah jika digunakan dengan cara yang salah, dikesan terlalu awal, atau dibiarkan bergerak tanpa perlindungan.
Pesawat tempur boleh ditembak jatuh, kapal perang boleh karam dibedil peluru berpandu, dan markas pertahanan boleh diserang. Nilai sesuatu aset ketenteraan tidak diukur pada kekebalannya secara mutlak, sebaliknya diukur pada fungsinya di dalam sistem operasi yang lebih besar.
MBT masih memiliki gabungan keupayaan yang sukar dicari ganti, ia menawarkan perlindungan kepada kru, kemampuan tembakan langsung yang memusnahkan, mobiliti di kawasan sukar serta keupayaan memberi tekanan fizikal dan mental ke atas musuh. Itulah sebabnya mengapa banyak tentera darat di seluruh dunia masih mengekalkan dan menaik taraf kereta kebal mereka, bukan membesikannya.
Ukraine menunjukkan medan perang semakin berubah

M1A1 Abrams merupakan salah satu varian utama dari kereta kebal tempur utama (Main Battle Tank – MBT) buatan Amerika Syarikat (AS)./Foto: U.S Marine Corps
Associated Press pernah melaporkan bahawa Ukraine terpaksa mengalihkan kereta kebal M1A1 Abrams bekalan Amerika Syarikat (AS) dari barisan hadapan. Antara sebab utamanya adalah kerana dron pengawasan Rusia menjadikan kereta kebal tersebut terlalu sukar untuk bergerak tanpa dikesan atau diserang.
Laporan itu turut menyebut bahawa lima daripada 31 buah Abrams yang dihantar ke Ukraine telah musnah akibat serangan Rusia. Meskipun begitu, pegawai tentera AS tetap menegaskan bahawa kereta kebal masih relevan dan penting tetapi dengan syarat ia digunakan dalam taktik peperangan gabungan.
Ancaman di medan tempur moden kini bersifat pelbagai dimensi dan saling berhubung. Dron pengawasan (ISR) menyediakan keupayaan penjejakan sasaran secara masa nyata, manakala amunisi berlegar (loitering munitions) mengeksploitasi kelemahan perisai kenderaan dari udara.
Secara serentak, unit ATGM mampu menguasai garis pandang dari jarak operasi maksimum, disokong oleh bedilan artileri dan rangkaian periuk api yang direka untuk menyekat mobiliti aset darat. Keadaan ini turut dirumitkan oleh penglibatan sistem peperangan elektronik (EW) musuh yang menyasarkan komunikasi taktikal serta sistem navigasi.
Dalam persekitaran taktikal sebegini, pengerahan unit armor tanpa penyepaduan elemen tempur gabungan akan mendedahkannya kepada risiko kemusnahan kritikal.
Bukan lagi raja tunggal di medan tempur
Pada masa lalu, kereta kebal sering digelar sebagai “raja medan perang”. Gelaran itu sangat tepat dari sudut sejarah, tetapi ia amat berbahaya jika diguna pakai secara semberono pada hari ini.
Kereta kebal moden tidak boleh lagi bergerak gaya “Rambo” seolah-olah ia mampu menyelesaikan semua ancaman sendirian. Ia bukan lagi aset yang boleh terus meluru untuk memecahkan benteng pertahanan musuh tanpa sokongan. Di kawasan yang penuh dengan sensor pintar dan mata dron di langit, MBT wajib menjadi sebahagian daripada pasukan tempur gabungan (combined arms).
MBT perlu bergerak serentak dengan pasukan infantri, bantuan tembakan artileri, sistem pertahanan udara jarak dekat, unit peperangan elektronik, jurutera tempur, senjata anti-dron, dan dron sokongan sendiri. Tanpa sokongan rangkaian ini, perisai setebal mana pun tidak akan bermakna.
Sistem Perlindungan Aktif (APS) menjadi satu keperluan

Peluru berpandu ATGM./Foto: Reddit
Bagi melawan ancaman baharu ini, salah satu evolusi paling penting ialah pemasangan Sistem Perlindungan Aktif atau Active Protection System (APS). Sistem ini bertindak seperti “perisai halimunan” yang menggunakan radar mini untuk mengesan ancaman yang menghampiri (seperti peluru berpandu ATGM), dan kemudian melepaskan tembakan balas untuk memusnahkan ancaman tersebut sebelum ia sempat menyentuh badan kereta kebal.
Sebagai contoh, tentera Jerman (Bundeswehr) mengesahkan bahawa varian kereta kebal Leopard 2 A7A1 mereka kini dilengkapkan dengan sistem Trophy iaitu sebuah sistem perlindungan aktif buatan Israel. Menurut Bundeswehr lagi, kereta kebal generasi seterusnya iaitu Leopard 2 A8 juga akan terus dilengkapi dengan sistem ini dari kilang.
Namun, harus diingat bahawa APS bukanlah sistem perlindungan selamanya, ia sememangnya meningkatkan peluang kereta kebal untuk terselamat, tetapi ia tidak menjadikan kereta kebal mustahil untuk dimusnahkan. APS tetap perlu digabungkan dengan taktik pergerakan yang betul, kesedaran situasi kru, penyelenggaraan baik, dan sokongan pasukan lain.
Dron bukan hanya ancaman
Dalam peperangan moden, dron sebenarnya boleh menjadi “mata dan telinga” tambahan kepada kereta kebal itu sendiri. Dron peninjau boleh diterbangkan lebih awal untuk melihat keadaan laluan, mengesan lokasi musuh yang bersembunyi dengan ATGM, memantau kawasan bahaya dan membantu komander kereta kebal membuat perancangan sebelum bergerak.
Hubungan antara kereta kebal dan dron bukanlah bermusuh semata-mata. Kereta kebal masa depan perlu berevolusi untuk beroperasi bersama dron secara berkesan, bukan sekadar memikirkan cara untuk mengelak daripadanya.
Institut kajian pertahanan RUSI dalam analisis mereka mengenai taktik perang di Ukraine menyatakan bahawa operasi gabungan tradisional iaitu taktik menyatukan kereta kebal, infantri, dan artileri untuk mengejutkan musuh pada hari ini sangat sukar dilakukan kerana musuh mempunyai pandangan langsung dari udara melalui dron dan menjadikannya mustahil untuk melancarkan serangan mengejut.
Abrams sendiri terpaksa berubah
Kuasa besar seperti AS yang memiliki ribuan kereta kebal canggih, juga akur bahawa kereta kebal M1 Abrams tidak boleh kekal dalam reka bentuk lamanya. Tentera Darat AS telah mengumumkan pembatalan pelan naik taraf versi M1A2 SEPv4 dan menggantikannya dengan program baharu yang dipanggil M1E3 Abrams.
Ini kerana pihak AS mahu kereta kebal baharu ini lebih ringan bagi mengurangkan masalah logistik, mempunyai mobiliti yang lebih baik, dan dilengkapi perlindungan berteknologi tinggi sejak di fasa rekaan lagi, bukannya ditambah secara berasingan di kemudian hari.
Pada Januari 2026, Tentera Darat AS telah mula memperkenalkan visi awal untuk prototaip M1E3 Abrams ini. Fokus utama kini beralih kepada pembinaan kenderaan yang lebih tangkas, tidak terlalu berat, mudah diselenggara di lapangan, dan mampu menahan asakan ancaman era moden seperti dron kamikaze dan senjata jarak jauh.
Implikasi kepada Malaysia dan rantau Asia Tenggara
Bagi Malaysia dan negara serantau, pendedahan ini tidak bermaksud kita perlu tergesa-gesa membeli kereta kebal baharu. Keputusan sebegitu tidak rasional tanpa mengambil kira bentuk muka bumi kita, bajet negara, keperluan sebenar operasi, dan ancaman setempat.
Mana-mana aset ketenteraan yang bernilai tinggi tidak kira kereta kebal, kenderaan perisai beroda, artileri, radar, kapal peronda mahupun sistem pertahanan Udara wajib dinilai semula ancamannya terhadap dron, sensor pintar, senjata tepat, dan peperangan elektronik.
Nilai sebenar sesebuah aset tentera bukan lagi sekadar membaca spesifikasi brosur, tetapi sejauh mana ia dapat dihubungkan secara digital dengan sistem lain, seberapa cekap kru dilatih dan bagaimana ia dilindungi dengan pelbagai lapisan pertahanan.
MBT masih dianggap relevan dalam peperangan darat kerana belum ada mesin lain yang mampu menggantikan gabungan tiga elemen utamanya melalui kuasa tembakan, perlindungan kru dan mobiliti taktikal. Namun, peperangan moden mengajar kita bahawa kelebihan ini hanya berguna jika ia diatur gerak dengan taktik yang betul. -airtimes.my
