China sekali lagi menarik perhatian dunia pertahanan apabila bakal memperkenalkan kereta kebal generasi baharu yang dikenali sebagai ZTZ-201 atau ZTZ-20. Kehadiran sistem ini menandakan langkah besar Beijing dalam usaha memperkukuh kuasa daratnya dengan menekankan kepada keupayaan hibrid, teknologi digital serta perlindungan aktif moden.
Berbeza dengan model terdahulu seperti Type 99A yang lebih berat dan berorientasikan kuasa api tradisional, ZTZ-201 direka dengan konsep mobiliti tinggi dan fleksibiliti. Dengan berat sekitar 35 hingga 40 tan, kereta kebal ini menampilkan reka bentuk modular yang membolehkan ia diubah suai mengikut keperluan operasi.
Dari sudut prestasi, enjin diesel digabungkan dengan motor elektrik dan pek bateri berteknologi tinggi bagi menghasilkan kuasa sekitar 1,500 kuasa kuda. Sistem hibrid ini bukan sahaja meningkatkan kelajuan maksimum sehingga 80 kilometer sejam di jalan raya dan 50 kilometer sejam di kawasan kasar, malah membolehkan pergerakan secara senyap untuk operasi taktikal di medan tempur.
China dilihat memberi tumpuan kepada aspek digitalisasi dalam pembangunan ZTZ-201. Krew kereta kebal dibekalkan dengan paparan “augmented reality” yang berfungsi memberikan gambaran taktikal menyeluruh terhadap persekitaran sekeliling.Teknologi ini membolehkan pengendali membuat keputusan pantas dengan maklumat visual yang lebih tepat dan jelas malah sistem seperti ini dijangka memberi kelebihan besar kepada Angkatan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China.
Dari segi persenjataan, ZTZ-201 dilengkapi meriam 105 milimeter dengan prestasi setara meriam 120 milimeter NATO atau 125 milimeter Rusia. Pembangunannya menekankan kepada kebolehan menggunakan pelbagai jenis peluru termasuk peluru penembus perisai moden serta peluru berpandu anti kereta kebal berpandu. Penggunaan meriam ini dilihat sebagai pilihan strategik kerana ia memberi keseimbangan antara kuasa tembakan, mobiliti dan kos pembangunan.
Sistem perlindungan aktif turut menjadi salah satu komponen teras ZTZ-201. Ia dilengkapi radar kawalan tembakan serta pelancar projektil yang mampu memintas ancaman seperti roket, peluru berpandu atau dron kamikaze. Di samping itu, perisai komposit yang lebih ringan tetapi berdaya tahan tinggi digunakan bagi memastikan kenderaan tidak terdedah kepada kelemahan struktur meskipun beratnya dikurangkan berbanding model terdahulu.
Kehadiran ZTZ-201 turut membawa mesej jelas mengenai hala tuju industri pertahanan China. Beijing kini beralih daripada konsep tradisional yang menekankan kepada kuasa api semata-mata kepada pendekatan baharu yang menekankan integrasi teknologi pintar, hibrid dan sistem kawalan berpusat digital. Langkah ini seiring dengan aspirasi China untuk bersaing dengan kuasa besar lain seperti Amerika Syarikat, Rusia dan Eropah dalam arena pembangunan kereta kebal generasi seterusnya.
Kehadiran ZTZ-201 mungkin akan melengkapkan peranan bersama Type 99A dan Type 96 yang sedia ada dalam inventori Tentera Darat China. Jika dilaksanakan dalam jumlah besar, sistem ini berpotensi menggantikan kereta kebal lama serta memberi fleksibiliti operasi di pelbagai bentuk medan termasuk kawasan bergunung, padang pasir dan hutan.
Persoalan yang timbul kini adalah sejauh mana keberkesanan sebenar ZTZ-201 di medan peperangan. China jarang sekali mendedahkan ujian pertempuran secara terbuka, menyebabkan banyak pihak masih menunggu untuk melihat sejauh mana teknologi hibrid, dan sistem perlindungan aktif ini mampu berfungsi dalam keadaan peperangan sebenar. Namun, perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa medan pertempuran moden bakal berubah, dengan kereta kebal bukan lagi sekadar mesin berat berperisai tetapi platform digital pintar yang digabungkan dengan teknologi masa hadapan.
ZTZ-201 adalah simbol transformasi ketenteraan China yang semakin menggabungkan sains, teknologi dan kejuruteraan bagi mengubah wajah peperangan darat. Dunia kini menunggu sama ada kereta kebal ini benar-benar mampu menjadi pencabar baharu kepada kuasa perisai Barat dan Rusia yang selama ini mendominasi senarai kereta kebal paling berkuasa di dunia. –airtimes.my
#AirTimes #Pertahanandarat #China #ZTZ201 #ZTZ20 #KeretaKebal #PLA








