KUALA LUMPUR, 22 JUL – Kerajaan menegaskan bekalan peluru untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada pada tahap mencukupi bagi memastikan kesiapsiagaan operasi negara, termasuk ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik, konflik serantau dan gangguan rantaian bekalan global.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan keupayaan pengeluaran peluru tempatan kini diperkasakan menerusi pembekalan Pelbagai Peluru Senjata Laras Kecil kepada Agensi Kerajaan di Seluruh Malaysia dengan Ketech Asia Sdn. Bhd. yang diselaraskan oleh Kementerian Kewangan.
Kontrak yang berkuat kuasa dari 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2029 itu dianggarkan bernilai RM150 juta dan melibatkan pembekalan peluru kaliber 9mm serta 5.56mm kepada pelbagai agensi keselamatan kerajaan, termasuk ATM.
“Pada masa ini, kilang Ketech Asia di Lipis, Pahang berkeupayaan menghasilkan sehingga 120 juta butir peluru 9mm dan 5.56mm setahun,” jelas Khaled Nordin dalam jawapan lisan Dewan Negara.
Beliau berkata demikian, bagi menjawab pertanyaan Senator Dato’ Ahmad bin Dato’ Sri Haji Ibrahim yang meminta penjelasan mengenai kapasiti semasa pengeluaran peluru tempatan serta langkah kerajaan untuk meningkatkan tahap sara diri bekalan peluru dan aset sokongan kritikal pertahanan negara.
Selain meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha memastikan negara memiliki stok simpanan strategik yang mencukupi bagi menjamin kesinambungan operasi pertahanan.
Dalam masa sama, pembekal juga dipastikan mempunyai akses kepada sumber bahan mentah daripada pelbagai negara bagi mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan serta memastikan pengeluaran peluru dapat diteruskan tanpa menjejaskan keperluan ATM. -airtimes.my
