Pada awal Julai 2026, secara rasmi Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev menerima kunjungan Pengerusi syarikat gergasi dron Turkiye Baykar, Selcuk Bayraktar di Baku. Pertemuan itu bukan sekadar melibatkan urusan korporat, malah mencerminkan hubungan strategik yang semakin erat antara Azerbaijan dan Turkiye, khususnya dalam bidang pertahanan, teknologi dan industri ketenteraan.
Menerusi hantaran di platform X, Bayraktar memkalumkan beliau telah memberi taklimat kepada Aliyev mengenai projek yang sedang dilaksanakan oleh Bayraktar Technologies di Azerbaijan. Beliau turut merakam penghargaan atas sambutan yang diberikan sepanjang lawatan tersebut.
Walaupun berlangsung dalam suasana rasmi, pertemuan berkenaan membawa mesej yang lebih besar. Ia menggambarkan bagaimana hubungan yang sebelum ini berasaskan persaudaraan sejarah, budaya dan bahasa kini berkembang menjadi pakatan strategik yang dipacu oleh teknologi pertahanan serta pembangunan industri berteknologi tinggi
Kemunculan Baykar sebagai pemain utama industri dron global

Dalam tempoh sedekad lalu, Baykar, berkembang daripada sebuah syarikat tempatan kepada antara pengeluar sistem pesawat tanpa pemandu paling berpengaruh di dunia. Di bawah kepimpinan teknikal Selcuk Bayrakar berjaya membangunkan Bayraktar TB2 yang dikenali kerana menggabungkan kos operasi yang efektif, keupayaan pengawasan berterusan serta ketepatan serangan.
Produk keluaran Baykar ini bukan lagi sekadar eksperimen makmal, tetapi senjata yang telah diuji keampuhannya di pelbagai medan konflik antarabangsa. Keberkesanan sistem tersebut dalam beberapa konflik telah meningkatkan permintaan antarabangsa terhadap dron keluaran Baykar. Kejayaan itu turut meletakkan Turkiye sebagai antara negara yang berjaya membangunkan industri dron tempatan sehingga mampu bersaing di peringkat global.
Bagi Azerbaijan, pelaburan awal terhadap teknologi Bayakr memberikan nilai strategik yang signifikan. Penggunaan sistem tanpa pemandu bukan sahaja memperkukuh keupayaan operasi tenteranya, malah membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas dalam pembangunan teknologi pertahanan.
Teknologi pertahanan sebagai instrumen diplomasi moden
Dalam landskap geopolitik semasa, hubungan antara negara tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada diplomasi tradisional seperti meja rundingan dan perjanjian di atas kertas. Kerjasama dalam pembangunan teknologi pertahanan kini menjadi antara instrumen penting yang memperkukuh keyakina serta kepentingan strategik antara negara.
Hubungan Azerbaijan-Turkiye adalah contoh terbaik bagi fenomena ini. Ia memperlihatkan bagaimana teknologi boleh menjadi asas kepada kerjasama jangka panjang. Perkembangan teknologi dron Baykar menjadi antara pemangkin yang mengukuhkan hubungan pertahanan kedua-dua negara, sekali gus memperluaskan kerjasama daripada hubungan berasaskan sejarah dan budaya kepada perkongsian industri pertahanan berteknologi tinggi.
Apabila Azerbaijan melaksanakan usaha memodernkan angkatan tenteranya, Turkiye hadir sebagai rakan strategik yang menyediakan jalan penyelesaian teknologi, latihan dan sokongan industri. Pendekatan ini bukan sekadar meningkatkan keupayaan operasi, malah memperkukuh elemen pencegahan Azerbaijan dalam persekitaran keselamatan yang semakin kompleks di rantau Kaukasus.
Pada masa sama, kerjasama tersebut turut meningkatkan reputasi Turkiye sebagai pembangun teknologi pertahanan yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Kejayaan industri pertahanan negara itu membuktikan bahawa pembangunan teknologi domestik mampu menjadi pemacu utama dasar luar dan hubungan strategik.
Bayraktar Technologies pacu pembangunan keupayaan tempatan

Komitmen yang terjalin antara Azerbaijan dan Baykar sebenarnya kini telah melangkah jauh daripada sekadar transaksi jual-beli aset pertahanan semata-mata. Ketika kunjungan ke Baku, Selcuk Bayraktar memberi taklimat komprehensif kepada Presiden Azerbaijan Aliyev mengenai perkembangan projek Bayraktar Technologies yang sedang dijalankan di Azerbaijan.
Bayraktar Technologies ini, Azerbaijan menumpukan usaha kepada pembangunan ekosistem yang menyokong operasi sistem tanpa pemandu, termasuk penyelidikan dan pembangunan, latihan operator, sokongan teknikal serta penyelenggaraan. Pendekatan ini menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk membangunkan keupayaan tempatan secara berperingkat.
Selain memperkukuh aspek operasi, kerjasama tersebut turut membuka peluang kepada jurutera dan tenaga mahir Azerbaijan untuk mendalami bidang sains aeroangkasa, sistem autonomi, kecerdasan buatan, dan robotik . Pemindahan kepakaran seperti ini penting bagi menyokong aspirasi negara itu membangunkan industri yang lebih mampan pada masa hadapan.
Langkah berkenaan juga menunjukkan hasrat Azerbaijan untuk membina ekosistem industri pertahanan tempatan dan bukan sekadar bergantung kepada pemerolehan aset dari luar negara. Dalam jangka panjang, pembangunan modal insan dan keupayaan teknikal dijangka menjadi antara faktor penting yang menentukan daya tahan industri pertahanan sesebuah negara.
Pakatan yang terus berkembang
Pertemuan antara Presiden Ilham Aliyev dan Selcuk Bayraktar mencerminkan perkembangan baharu dalam hubungan Azerbaijan-Turkiye yang semakin tertumpu kepada inovasi, teknologi dan pembangunan industri pertahanan. Kerjasama yang dibina hari ini tidak lagi terhad kini kepada pembelian sistem persenjataan, sebaliknya merangkumi latihan, penyelenggaraan, penyelidikan, pembangunan modal insan serta perkongsian kepakaran teknologi tinggi.
Melalui penguasaan ruang udara, pakatan strategik ini akan terus melangkah lebih tinggi, memberikan nilai strategik yang lebih mampan berbanding hubungan pembekal dan pelanggan semata-mata.
Dalam era persaingan teknologi yang semakin sengit, keupayaan membina ekosistem pertahanan sendiri menjadi satu kelebihan strategik. Azerbaijan dan Turkiye dilihat berkongsi aspirasi tersebut melalui kerjasama yang terus berkembang dari semasa ke semasa.
Sekiranya momentum itu dapat dikekalkan, hubungan kedua-dua negara dijangka terus memperkukuh keupayaan pertahanan masing-masing serta menyumbang kepada keseimbangan keselamatan di rantau Kaukasus. Pada masa sama, kerjasama ini memperlihatkan bagaimana teknologi pertahanan kini menjadi antara asas penting dalam membentuk hubungan strategik antara negara pada abad ke-21. -airtimes.my
