Dalam era di mana teknologi satelit komersial berkembang dengan pantas, agensi pertahanan global terpaksa menilai semula strategi komunikasi taktikal mereka. Terbaharu, kontrak Tentera Angkas AS (US Space Force) untuk program Mobile User Objective System Service Life Extension (MUOS SLE) menunjukkan bahawa masa depan komunikasi tentera tidak hanya ditentukan oleh kelajuan rangkaian satelit komersial.
Dalam kontrak bernilai $2 bilion itu, Boeing ditugaskan membina dua satelit MUOS baharu serta menyokong pelancaran dan ujian di orbit yang dijangka siap pada 30 September 2035. Dalam masa sama, Boeing turut menyatakan satelit pertama dijadualkan dihantar pada 2031.
Angka kontrak ini mungkin kelihatan seperti satu lagi perolehan satelit. Namun bagi dunia pertahanan, MUOS ialah lapisan komunikasi taktikal yang sangat khusus. Ia bukan dibina untuk menggantikan semua rangkaian komunikasi lain, tetapi bagi memastikan pengguna tentera di darat, laut dan udara terus mempunyai sambungan suara serta data penting apabila rangkaian biasa tidak mencukupi.
Teknologi 3G yang diubahsuai untuk medan tentera

Salah satu aspek paling mengagumkan mengenai sistem MUOS adalah keupayaan menterjemahkan teknologi awam kepada aset pertahanan berprestasi tinggi. Di saat dunia komersial sudah lama meninggalkan era 3G demi mengejar kepantasan 5G dan masa depan 6G, US Space Force sengaja mengekalkan arkitektur 3G berasaskan teknologi WCDMA (Wideband Code Division Multiple Access).
Namun, ini bukanlah rangkaian 3G komersial seperti yang pernah digunakan orang awam. Dalam MUOS, konsep selular itu digunakan bersama satelit geosegerak sebagai “Menara” di angkasa. Space Systems Command menyatakan MUOS menyediakan komunikasi satelit selamat beyond-line-of-sight di seluruh dunia, dengan kapasiti lebih tinggi, penyulitan, liputan kutub separa dan ketahanan lebih baik terhadap gangguan elektromagnet.
Mengapa UHF Narrowband Masih Relevan
Reka bentuk baharu berasaskan platform Boeing 702MP yang diumumkan pada 25 Jun ini, diunjurkan untuk pelancaran pada tahun 2031 dan 2032. Menariknya, satelit fasa lanjutan di bawah program Service Life Extension (SLE) ini menggugurkan fungsi muatan legasi (legacy payload) UHF tradisional demi memberikan laluan sepenuhnya kepada sistem WCDMA moden.
Dalam era perbincangan tentang 5G, 6G dan konstelasi orbit rendah, komunikasi UHF narrowband mungkin kelihatan lama. Hakikatnya, kelebihan UHF bukan pada kelajuan maksimum, tetapi pada kebolehgunaan dalam persekitaran sukar. Space Systems Command menyatakan narrowband SATCOM penting kerana spektrum UHF boleh beroperasi dalam persekitaran bandar dan hutan, merentasi semua cuaca, serta menyokong terminal mudah alih kecil berkuasa rendah.
Kelebihan ini menjelaskan mengapa MUOS masih relevan untuk pasukan bergerak. Dalam operasi sebenar, pengguna tidak semestinya berada di lokasi yang sesuai untuk antena besar, sambungan tetap atau rangkaian komersial. Mereka mungkin berada di kawasan hutan, bandar padat, kapal, pesawat atau medan yang berubah pantas.
Dalam keadaan seperti itu, komunikasi yang sederhana tetapi boleh dipercayai kadangkala lebih penting daripada kapasiti data yang besar tetapi sukar dicapai.
Boeing, 702MP Dan Kesinambungan MUOS
Penganugerahan kontrak kepada Boeing juga penting dari sudut industri. Boeing menyatakan MUOS SLE akan dibina menggunakan kapal angkasa kelas sederhana 702MP yang terbukti dalam pengeluaran aktif. Syarikat itu turut menyatakan pengalamannya dalam komunikasi UHF dan peranannya dalam pembangunan payload bagi konstelasi MUOS semasa.
Ini tidak bermaksud Lockheed Martin hilang daripada gambaran besar. Konstelasi MUOS semasa masih dikaitkan dengan Lockheed Martin, yang menyatakan sistem itu terdiri daripada empat satelit aktif dan satu satelit simpanan di orbit, disokong empat stesen geganti darat serta lebih 67,000 terminal pengguna tentera. Maka, kontrak Boeing lebih tepat dibaca sebagai kesinambungan dan pembaharuan fasa hayat sistem, bukan sekadar pertukaran pembekal.
GEO Dan LEO Bukan Pertentangan Mutlak

Kebangkitan satelit komersial orbit rendah atau LEO memang mengubah landskap komunikasi. LEO menawarkan kadar tindak balas yang pantas, kapasiti tinggi dan daya tahan melalui jumlah satelit yang besar. Bagaimanapun, keputusan meneruskan MUOS membuktikan seni bina geopegun (GEO) tetap relevan dalam sistem komunikasi tentera.
Rangkaian komersial boleh menjadi pelengkap yang berguna, tetapi ia tidak semestinya menggantikan sistem UHF narrowband yang dikawal kerajaan dan direka untuk misi taktikal. Perbezaannya terletak pada keutamaan misi, kawalan keselamatan, ciri spektrum dan jenis pengguna yang disokong.
Dalam konteks MUOS, matlamat utamanya bukan menyediakan internet laju seperti pengguna awam, tetapi memastikan penyampaian arahan, laporan situasi dan data penting kekal lancar ketika fasa komunikasi paling kritikal.
Kontrak Boeing bernilai mencecah AS$2 bilion ini bukan sekadar berita industri pertahanan. Ia membuktikan bahawa dalam operasi ketenteraan, teknologi terbaharu tidak semestinya mengetepikan sistem yang sudah teruji. Sebaliknya, apa yang lebih penting adalah keupayaan sistem itu untuk berfungsi dengan baik pada waktu ia paling diperlukan. -airtimes.my
