WASHINGTON, 26 JUN – Amerika Syarikat (AS) merancang perolehan 85 pesawat pejuang F-35 dalam belanjawan tahun fiskal 2027 bagi memperkukuh keupayaan udara negara itu serta menyokong kesinambungan program naik taraf pesawat generasi kelima berkenaan.
Perkara itu dinyatakan semasa pendengaran Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat AS pada 23 Jun lalu, yang meneliti kedudukan semasa program F-35 termasuk aspek perolehan, naik taraf sistem, enjin dan kesiagaan armada.
Pengarah Eksekutif Program F-35, Lt Jen Gregory Masiello berkata, cadangan bajet tersebut merangkumi pembelian 85 pesawat untuk AS, selain digabungkan dengan keperluan rakan antarabangsa dan negara sekutu yang turut mengoperasikan F-35.
“Perolehan itu melibatkan 85 pesawat untuk Amerika Syarikat, dan ia turut digabungkan dengan rakan antarabangsa serta negara sahabat,” katanya.
Menurut beliau, bajet 2027 juga akan membiayai pelaksanaan pakej naik taraf Block 4, Engine Core Upgrade serta Power Thermal Management Upgrade.
“Bajet itu akan membiayai Block 4. Ia juga akan membiayai naik taraf teras enjin serta naik taraf sistem pengurusan kuasa dan terma,” jelasnya.
Block 4 merupakan pakej pemodenan utama F-35 yang bertujuan meningkatkan keupayaan tempur, sensor, perisian dan integrasi persenjataan pesawat tersebut.
Sementara itu, naik taraf teras enjin dan sistem pengurusan kuasa terma dilihat penting bagi menyokong keperluan tenaga serta penyejukan tambahan, khususnya bagi sistem avionik dan radar generasi baharu.
Dalam pendengaran sama, Senator Kevin Cramer turut membangkitkan keperluan pembiayaan lebih AS$13 bilion bagi program F-35, termasuk kira-kira AS$1.3 bilion untuk Block 4, enjin dan naik taraf pengurusan kuasa terma.
Program F-35 kekal sebagai antara projek pertahanan paling besar AS, dengan lebih 1,300 pesawat telah diterima kerajaan negara itu dan rakan antarabangsa setakat ini. – airtimes.my
