KUALA LUMPUR, 26 Jun – Kerajaan sedang merujuk isu perolehan sistem Naval Strike Missile (NSM) dari Norway kepada Jabatan Peguam Negara bagi menentukan tindakan susulan yang sewajarnya bagi melindungi kepentingan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu itu timbul selepas Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport kepada syarikat pembekal komponen pertahanan berkenaan.
“Kementerian sedang mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan nasihat dan panduan Jabatan Peguam Negara bagi melindungi kepentingan negara dan memastikan keupayaan pertahanan negara tidak terjejas,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Menurut Mohamed Khaled, isu perolehan komponen pertahanan dari Norway itu merupakan perkara baharu susulan keputusan kerajaan negara berkenaan membatalkan lesen eksport kepada syarikat pembekal.
Beliau berkata, pada masa yang sama, siasatan berkaitan kelewatan projek Littoral Combat Ship (LCS) masih berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kementerian sentiasa memberikan kerjasama penuh dan bersedia membantu pihak SPRM dalam apa jua siasatan yang dijalankan,” katanya.
Dalam jawapan berasingan berhubung isu sama, Mohamed Khaled memaklumkan kontrak perolehan NSM telah dilaksanakan mengikut syarat yang dipersetujui, dengan Kerajaan Malaysia telah membuat bayaran sebanyak RM634 juta kepada syarikat pembekal, iaitu kira-kira 95 peratus daripada nilai kontrak yang ditetapkan.
Bagaimanapun, penghantaran sistem itu tidak dapat diteruskan selepas Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport kepada syarikat pembekal.
Menurut beliau, keputusan tersebut merupakan tindakan unilateral Kerajaan Norway yang berada di luar kawalan Malaysia dan bukan berpunca daripada kegagalan negara memenuhi obligasi kontrak.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia telah menyuarakan bantahan dan kekecewaan secara tegas melalui saluran diplomatik, termasuk bantahan oleh Perdana Menteri kepada rakan sejawatnya di Norway serta bantahan langsung beliau kepada Menteri Pertahanan Norway.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang menuntut pemulangan bayaran serta pampasan yang sewajarnya bagi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.
Pada masa yang sama, Kementerian Pertahanan sedang meneruskan rundingan dan menilai semua pilihan yang bersesuaian bagi memastikan keupayaan persenjataan Tentera Laut Diraja Malaysia dapat dipenuhi tanpa menjejaskan kesiapsiagaan pertahanan negara.-airtimes.my
