Home Pertahanan dan Keselamatan Pertahanan negara tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan konvensional semata-mata

Pertahanan negara tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan konvensional semata-mata

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 26 JUN – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata landskap keselamatan semasa menuntut kekuatan pertahanan yang moden, bersepadu dan diyakini bagi mencegah ancaman terhadap negara.

Pertahanan negara tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan konvensional semata-mata, sebaliknya perlu dibangunkan berdasarkan kekuatan moden yang mampu memberi kesan cegah rintang terhadap sebarang ancaman.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu kekal pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi, kredibel dan relevan dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik serantau serta landskap keselamatan yang semakin kompleks.

“Dalam persekitaran keselamatan hari ini, pertahanan negara tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan konvensional semata-mata, sebaliknya perlu berasaskan konsep credible deterrence by capability, iaitu keupayaan mencegah ancaman melalui kekuatan pertahanan yang moden, bersepadu dan diyakini,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Menurut Mohamed Khaled, ATM sedang melaksanakan transformasi di bawah pembangunan Angkatan Masa Hadapan (AMH) yang memberi tumpuan kepada pemodenan aset secara berfasa, pendigitalan sistem pertahanan serta pengukuhan keupayaan peperangan moden.

Beliau berkata, transformasi itu turut merangkumi pembangunan keupayaan menghadapi peperangan asimetrik, peperangan hibrid dan peperangan kognitif.

Selain itu, ATM turut memperkukuh operasi berteraskan rangkaian bagi membolehkan perkongsian maklumat secara masa nyata, penyelarasan operasi yang lebih pantas dan tindak balas lebih berkesan merentasi semua cabang perkhidmatan.

Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan telah melancarkan Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan 2026-2030 pada 25 Jun 2026 sebagai panduan pembangunan keupayaan pertahanan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menurut beliau, kedua-dua dokumen itu menetapkan hala tuju pembangunan keupayaan ATM, keutamaan perolehan aset, pembangunan teknologi pertahanan, pemerkasaan industri pertahanan tempatan serta pembangunan modal insan.

Dalam masa sama, kementerian terus melaksanakan pemodenan aset secara berperingkat, memperkukuh keupayaan risikan, pengawasan, pemantauan dan tindak balas pantas, selain meneruskan program Mid-Life Upgrade (MLU) dan Service Life Extension Programme (SLEP) bagi memastikan aset sedia ada kekal berkeupayaan.

Beliau berkata, perolehan aset baharu pula akan dilaksanakan berdasarkan keperluan operasi AMH seperti digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan, tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan.

ATM turut melaksanakan latihan secara berterusan bersama agensi keselamatan dalam dan luar negara, termasuk latihan bersama yang semakin kompleks dan realistik melibatkan operasi pelbagai domain serta penggunaan teknologi simulasi pertempuran moden. -airtimes.my

KATA KUNCI : angkatan masa hadapanAngkatan Tentera MalaysiaAngkatan Tentera Malaysia (ATM)BeritaKementerian PertahananMohamed Khaled Nordinpertahanan negara

Leave a Reply