KUALA LUMPUR, 25 Jun – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat mempunyai peranan penting dalam memperkukuh daya tahan negara, khususnya ketika ancaman hibrid dan peperangan kognitif kini boleh menyasarkan pemikiran serta perpaduan masyarakat.
Beliau berkata, walaupun tugas pertempuran dilaksanakan oleh tentera, sokongan rakyat tetap diperlukan bagi memastikan negara tidak mudah dipecahbelahkan oleh pengaruh luar atau ancaman bukan konvensional.
“Rakyat kena faham, peranan dia bukan untuk angkat senjata tapi sekurang-kurangnya dia ada semangat patriotisme, dia sayangkan negara,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030 di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, peperangan moden tidak lagi tertumpu kepada medan tempur fizikal semata-mata kerana serangan boleh berlaku lebih awal terhadap rakyat melalui usaha mempengaruhi pemikiran, sentimen dan kestabilan sosial.
Menurut beliau, situasi itu menjadikan kefahaman rakyat terhadap pertahanan negara semakin penting, termasuk dalam membina semangat patriotisme, ketahanan dan kesediaan masyarakat menghadapi krisis.
Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan usaha Kementerian Pertahanan membudayakan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), termasuk melalui kerjasama awam-tentera, Program Jiwa Murni MADANI, Program Ilmu dan Muafakat serta Program Literasi Pertahanan.
Terdahulu, Mohamed Khaled melancarkan PSPN 2026-2030 dan RTKP 2026-2030 sebagai dokumen strategik lima tahun bagi memperkukuh hala tuju pertahanan negara serta kapasiti pelaksanaannya.
PSPN 2026-2030 menggariskan tujuh teras strategik, 29 strategi utama dan 103 inisiatif khusus meliputi kesiagaan ATM, kapasiti pertahanan, kesejahteraan warga kerja pertahanan, kerjasama awam-tentera, pembangunan teknologi dan industri pertahanan, diplomasi pertahanan serta kesejahteraan veteran ATM.
RTKP 2026-2030 pula memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti sumber manusia pertahanan, termasuk Angkatan Tetap ATM, kakitangan awam sektor pertahanan, veteran ATM, Angkatan Sukarela dan rakyat dalam kerangka HANRUH. – airtimes.my
