SEVILLE, 25 JUN – Airbus Defence and Space menyerahkan pesawat C295 konfigurasi Search and Rescue (SAR) pertama kepada Spanish Air and Space Force bagi menggantikan armada CN-235 VIGMA negara itu.
Menurut Airbus, pesawat yang dipasang di San Pablo, Seville itu akan diterbangkan ke Gando Air Base di Gran Canaria dalam beberapa hari akan datang.
Pesawat C295 SAR itu direka untuk melaksanakan misi mencari dan menyelamat di peringkat nasional serta antarabangsa, selain operasi keselamatan maritim dan pencegahan aktiviti penyeludupan.
Airbus menyatakan platform berkenaan menawarkan peningkatan dari segi jarak operasi dan keupayaan taktikal berbanding CN-235 VIGMA, selain boleh digunakan dalam operasi maritim dan daratan.
Syarikat itu turut merancang menyerahkan dua lagi pesawat C295 pengawasan maritim kepada Sepanyol tahun ini daripada keseluruhan pesanan lapan pesawat, bersama dua pesawat C295 pertama dalam konfigurasi pengangkut di bawah pesanan Kementerian Pertahanan Sepanyol pada 2025.
Penghantaran C295 pertama dalam konfigurasi Maritime Patrol Aircraft (MPA) untuk Sepanyol pula dijadualkan pada 2028. Airbus menyifatkan varian MPA itu sebagai konfigurasi misi C295 paling kompleks setakat ini.
Dalam pesanan berasingan pada Disember 2025, Kementerian Pertahanan Sepanyol memperoleh 18 pesawat C295 konfigurasi pengangkut bagi menggantikan armada CN235 dan C212 yang digunakan untuk latihan juruterbang serta penerjun payung Spanish Air and Space Force.

Pesawat C295 konfigurasi pengangkut itu mampu membawa 70 anggota tentera atau 50 penerjun payung, selain boleh beroperasi di landasan tidak disediakan, melaksanakan pengguguran kargo dan penerjun payung serta misi pemindahan perubatan.
Menurut Airbus, perolehan tersebut akan membolehkan Spanish Air and Space Force mengoperasikan 46 pesawat C295 dalam konfigurasi pengangkut, rondaan maritim dan pengawasan.
Perkembangan di Sepanyol berlaku ketika Thailand turut menambah pesanan C295. Pada Mei 2026, Tentera Laut Diraja Thai memperoleh dua C295 dalam konfigurasi pengangkut dipertingkat yang turut membolehkan misi pengawasan serta SAR, manakala Tentera Udara Diraja Thai memperoleh dua C295 konfigurasi pengangkut taktikal.
Thailand sebelum ini sudah mengoperasikan tiga C295 melalui Tentera Darat Diraja Thai sejak 2016 untuk misi pengangkutan kargo dan anggota.
Bagi memenuhi permintaan global, Airbus memaklumkan pihaknya sedang meningkatkan kadar pengeluaran di Final Assembly Line di Seville daripada 10 kepada 13 pesawat C295 setahun.
Dalam kenyataan terbaharunya, Airbus menyatakan C295 merekodkan 335 pesanan dari 39 negara dengan pegangan 85 peratus pasaran dunia dalam segmennya.
Berdasarkan statistik Airbus, sebanyak 243 serahan dan 240 pesawat C295 beroperasi di seluruh dunia sehingga 31 Mei 2026.
C295 merupakan pesawat pengangkut taktikal pelbagai peranan yang boleh digunakan untuk pengangkutan anggota dan kargo, rondaan maritim, amaran awal, pengawasan dan peninjauan, pemindahan perubatan serta beberapa misi khusus lain.
Menurut spesifikasi Airbus, pesawat itu mampu membawa muatan sehingga lapan tan atau 70 anggota tentera, dengan kelajuan pelayaran maksimum 260 knot dan tempoh penerbangan sehingga 13 jam. – airtimes.my
