KUALA LUMPUR, 17 Jun – Kontrak perolehan 18 buah sistem meriam gerak kendiri (Self Propelled Howitzer, SPH) CAESAR untuk Malaysia akan lengkap dalam masa kurang daripada 4 tahun.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Pengarah Pembangunan Perniagaan Advanced Defense System (ADS) Sdn Bhd, Leftenan Kolonel (B) Shane Chin ketika dihubungi oleh Air Times.
Semalam, Air Times melaporkan pengumuman KNDS berhubung perolehan 18 buah CAESAR oleh Malaysia semasa Pameran Eurosatory 2026 pada Selasa.
Perolehan tersebut sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara pengguna ke-15 di peringkat global dan ketiga di Asia Tenggara.
Menyentuh kontrak perolehan tersebut, Shane menjelaskan penghantaran kesemua 18 buah CAESAR akan lengkap dalam masa 48 bulan (4 tahun).
“Kami merancang untuk menyiapkan perolehan dalam masa 42 bulan,” katanya.
Beliau menambah, kumpulan pertama 6 meriam SPH akan mula beroperasi dalam tempoh 31 bulan pertama tempoh kontrak.
Menyentuh varian, Shane menjelaskan Malaysia telah memilih varian 6×6.
CAESAR 6×6 merupakan varian yang menggunakan casis trak beroda enam. Foto: DVIDS/Markus
Varian CAESAR
CAESAR merupakan SPH beroda keluaran KNDS. Sistem artileri ini menggunakan meriam 155mm/52 kaliber sebagai sistem persenjataan utama. Meriam ini dipasang pada platform trak 6×6 atau 8×8, bergantung kepada varian.
CAESAR 6×6 merupakan varian asas yang menggunakan casis trak 6 roda. Menurut KNDS, varian ini menekankan mobiliti tinggi bagi memudahkan atur gerak operasi di pelbagai jenis permukaan bumi.
Versi ini telah menjadi asas kepada reputasi sistem artileri CAESAR pada lewat 1990-an.
CAESAR 6×6 Mark (Mk) II merupakan varian terkini yang dihasilkan oleh KNDS untuk casis 6 roda. Varian ini mempunyai ciri-ciri penambahbaikan pada sistem kawalan tembakan, perlindungan kabin, ergonomik kru dan mobiliti.
Pembangunan CAESAR turut membawa kepada penghasilan varian 8×8. Varian ini menggunakan casis trak 8 roda. CAESAR 8×8 kelihatan lebih besar dan mempunyai kapasiti peluru yang lebih banyak berbanding CAESAR 6×6.
Kedua-dua varian CAESAR telah digunakan di medan tempur global termasuk di Ukraine. – airtimes.my




