Home Pertahanan dan Keselamatan Kapal MPCP dipilih sebagai pengganti Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah

Kapal MPCP dipilih sebagai pengganti Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah

A+A-
Reset

PUTRAJAYA, 15 JUN – Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memperoleh sebuah kapal Multi Purpose Command Platform (MPCP) bagi menggantikan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) yang telah ditamatkan operasi selepas hampir sedekad digunakan di perairan Sabah Timur.

MKN dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat mengambil kira kedudukan geostrategik Sabah, landskap keselamatan semasa serta kos penyelenggaraan PL TSR yang tinggi.

Menurut kenyataan itu, kapal MPCP dipilih bagi menggantikan pelantar statik tersebut kerana mempunyai mobiliti lebih jauh, dilengkapi teknologi lebih maju serta boleh beroperasi dengan lebih cekap dan berkesan.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan untuk melaksanakan perolehan sebuah kapal Multi Purpose Command Platform (MPCP) bagi menggantikan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) yang telah ditamatkan operasi selepas hampir sedekad menjadi benteng hadapan dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara di Sabah Timur,” menurut kenyataan itu.

MKN memaklumkan projek perolehan MPCP itu telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dan menjadi antara projek utama agensi berkenaan.

Bagi merealisasikan projek tersebut, kerajaan bersetuju melaksanakan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia yang diwakili Ketua Pengarah Keselamatan Negara, YM Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin, dengan Kerajaan Turkiye yang diwakili Vice President of System and Platform, Secretariat of Defence Industry (SSB), Mustafa M. Şeker.

MoU itu akan menjadi permulaan kepada perolehan MPCP melalui kerjasama Government-to-Government (G2G) antara Malaysia dan Republik Turkiye.

Menurut MKN, pemilihan Turkiye sebagai rakan strategik dibuat berdasarkan kematangan dan kepesatan pembangunan industri pertahanan negara itu.

Kerjasama tersebut turut meliputi skop pemindahan teknologi, pelaburan fasiliti di Malaysia dan pertukaran kepakaran antara kedua-dua negara.

MPCP baharu itu akan berperanan sebagai pangkalan hadapan serba boleh dan dilengkapi radar pengawasan jarak jauh serta platform tanpa pemandu seperti Unmanned Aerial Vehicle (UAV) dan Unmanned Surface Vehicle (USV).

Kenyataan itu memaklumkan kapal berkenaan boleh digerakkan secara fleksibel ke kawasan titik panas bagi menyokong operasi penguatkuasaan maritim di Sabah Timur.

MKN berkata pengoperasian MPCP akan melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Kapal itu akan diterajui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berdasarkan pengalaman luas pasukan berkenaan beroperasi di perairan Sabah.

Menurut kenyataan itu, kehadiran MPCP dijangka memantapkan kesiapsiagaan, pemantauan dan tindak balas pantas agensi penguatkuasaan terhadap ancaman seperti pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan. -airtimes.my

KATA KUNCI : ESSCOMkerjasama pertahanankeselamatan maritimMKNMPCPPL TSRRMK13Sabah TimurTLDMTurkiye

Leave a Reply