Home Pertahanan dan KeselamatanMALPTACC lahirkan graduan TVET patriotik, perkasa Askar Wataniah

MALPTACC lahirkan graduan TVET patriotik, perkasa Askar Wataniah

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

IPOH, 15 Jun – Negara memerlukan modal insan yang serba boleh dalam menghadapi ancaman keselamatan melangkaui dimensi tradisional di mana ia boleh dimainkan oleh Askar Wataniah

Warga Askar Wataniah memiliki keunikan tersendiri kerana membawa pelbagai kepakaran profesional yang mampu memperkukuhkan keupayaan pertahanan negara.

Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad berkata, peranan itu boleh dimainkan graduan TVET khususnya daripada politeknik dan kolej komuniti.

Beliau berkata, anggota Askar Wataniah berlatar belakang TVET menguasai kemahiran dalam bidang kejuruteraan awam, mekanikal, elektrikal, perdagangan, teknologi maklumat serta hospitaliti.

Katanya, kepakaran tersebut merupakan aset bernilai tinggi dan berimpak besar kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Tentera Darat Malaysia.

“Graduan TVET kini merangkumi lebih 45 peratus tenaga kerja negara yang sedang berkhidmat dalam pelbagai sektor.

“Sehubungan itu, potensi besar tersebut perlu dimanfaatkan secara aktif melalui pasukan simpanan demi mempertahankan kedaulatan negara.

“MALPTAAC memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja kompeten dari aspek teknikal dan profesional, malah mempunyai jati diri yang kukuh, berdisiplin serta berupaya memimpin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) Siri 17/2026 di Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh di sini.

Turut hadir Asisten Ketua Staf Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Dato’ Mohammad Razeif Che Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah JPPKK, Ulaimi Yahya.

Latihan kem tahunan bermula 1 hingga 15 Jun ini merupakan kolaborasi strategik antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Bahagian Pasukan Simpanan (BPS) Markas Tentera Darat serta Rejimen Siri 500 Askar Wataniah.

Seramai 800 anggota Askar Wataniah politeknik, 40 pensyarah serta 100 pegawai dan jurulatih serta Askar Wataniah dari seluruh negara telah terlibat dalam penganjuran kali ini.

Dalam ucapannya, Mohamad Suria merakamkan penghargaan kepada Sekretariat Askar Wataniah Politeknik Malaysia yang menjadi penghubung antara JPPKK dengan Tentera Darat Malaysia.

Menurutnya, kerjasama itu membuka lebih banyak ruang pembangunan kerjaya pertahanan kepada golongan muda.

Beliau berharap ekosistem kerjasama berkenaan terus diperkasakan dan diperluaskan ke seluruh negara bagi melahirkan lebih ramai anggota Askar Wataniah berkemahiran tinggi.

Sepanjang tempoh latihan, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti kawad kaki, merentas halangan, ujian menembak, multi relay, sukan serta program jiwa murni bersama komuniti setempat.

Pendedahan ini bertujuan membentuk ketahanan mental dan fizikal, di samping memupuk nilai kepimpinan, disiplin dan semangat berpasukan.

Dalam pada itu, bagi kategori kawad kemenangan disandang oleh Politeknik Sultan Azlan Shah manakala Politeknik Ungku Omar muncul Johan bagi pertandingan merentas halangan.

Pertandingan menembak dimenangi oleh Politeknik Sultan Idris Shah, sementara Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah menjuarai kategori multi relay.

Secara keseluruhannya, Politeknik Ungku Omar telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan MALPTAAC Siri 17/2026.

MALPTAAC Siri 18/2027 bakal dianjurkan Politeknik Kota Bharu pada tahun hadapan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply