KUALA LUMPUR, 9 JUN – Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) memberi pengiktirafan kepada 605 anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kakitangan awam kementerian atas kejayaan cemerlang dalam bidang akademik.
Pengiktirafan tersebut dizahirkan melalui Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM bagi tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, anugerah tersebut merupakan tanda penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan serta kesetiaan anggota tentera selaku ibu bapa. Beliau menegaskan bahawa aspek pendidikan anak-anak adalah elemen penting dalam memastikan agenda kesejahteraan keluarga ATM sentiasa terpelihara.
“Kita percaya anggota yang bertugas dan menjalankan tanggungjawab mereka akan rasa tenang dan bersemangat jika mereka sedar dan yakin masa depan anak-anak mereka diberi perhatian dan tidak diabaikan.
“Kecemerlangan pendidikan anak-anak merupakan hadiah yang terbaik buat setiap ibu bapa yang merupakan anggota ATM,” kata Khaled dalam ucapan pada majlis itu.
Majlis berkenaan meraikan seramai 446 pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang 5A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding 383 penerima pada tahun lalu.
Turut diraikan ialah 152 pelajar yang berjaya mendapat tempat di universiti awam tempatan serta tujuh pelajar yang melanjutkan pengajian ke menara gading di luar negara.
Menurut Menteri Pertahanan, segala program intervensi pendidikan bermula dari peringkat sekolah rendah sehingga universiti dijayakan melalui Yayasan LTAT selaku instrumen utama kementerian.
Antara inisiatif komprehensif yang disediakan termasuklah Program Simpanan Pendidikan melalui PTPTN, program tuisyen e-Perkasa SPM, tawaran biasiswa strategik, serta skim kesediaan kerjaya PROWIRA.
Beliau menambah bahawa pihak kementerian kini mula memperluaskan program pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM).
Langkah intervensi awal itu bertujuan melahirkan generasi muda yang menguasai bidang teknologi tinggi demi menyokong keperluan sistem pertahanan negara pada masa hadapan. – airtimes.my
