KUALA LUMPUR, 24 JULAI – Kementerian Pertahanan mengesahkan hasil siasatan insiden letupan grenad semasa latihan di Kem Hobart, Gurun mendapati grenad dipercayai telah mula berfungsi sebelum sempat dibaling.
Insiden yang berlaku pada 16 Jun lalu itu telah mengorbankan dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan media Kementerian Pertahanan hari ini selepas menerima laporan lengkap hasil siasatan yang dijalankan mengikut prosedur Tentera Darat.
Menurut kementerian, Tentera Darat telah menubuhkan Lembaga Siasatan atau Board of Inquiry (BOI) sehari selepas kejadian. Dapatan tersebut kemudiannya melalui beberapa peringkat semakan sebelum dikemukakan kepada Kementerian Pertahanan.
Siasatan turut mengambil keterangan daripada saksi berkaitan selain meneliti semua aspek teknikal serta pematuhan prosedur latihan bagi memastikan kesimpulan yang dibuat adalah menyeluruh.
Kementerian menjelaskan latihan membaling grenad dilaksanakan secara berperingkat mengikut arahan pengasuh. Sepanjang proses itu, pembaling perlu memastikan grenad sentiasa digenggam dengan kemas, khususnya pada tuas keselamatan sehingga ia dibaling ke arah sasaran.
Menurut kenyataan itu, grenad berkenaan mempunyai beberapa lapisan keselamatan yang terdiri daripada klip keselamatan, pin keselamatan serta tuas keselamatan. Grenad hanya mula berfungsi apabila tuas keselamatan dilepaskan daripada badan grenad dan akan meletup kira kira lima saat kemudian.
“Berdasarkan kedudukan letupan, bukti di lokasi kejadian serta analisis kesan kecederaan, siasatan mendapati tuas keselamatan dipercayai telah terlepas sebelum balingan disempurnakan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menjelaskan pembaling mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala serta tangan kanan. Pengasuh pula mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala, badan serta anggota sebelah kiri.
Menurut kementerian, corak kecederaan itu selaras dengan dapatan bahawa grenad telah berfungsi sebelum sempat dibaling dan meletup ketika masih berada berhampiran bahagian atas kedua dua anggota terbabit.
Bagaimanapun, tiada saksi yang melihat kejadian secara langsung menyebabkan detik sebenar tuas keselamatan terlepas tidak dapat dipastikan.
Susulan hasil siasatan tersebut, Kementerian Pertahanan bersama ATM akan memperkukuh prosedur keselamatan, tatacara pengendalian grenad, tahap pengawasan serta pelaksanaan latihan bagi mengurangkan risiko kejadian seumpama itu daripada berulang.
“Keselamatan setiap anggota sentiasa menjadi keutamaan. Tiada kompromi dalam memastikan semua latihan dilaksanakan dengan tahap pematuhan, pengawasan dan keselamatan yang tertinggi,” menurut kenyataan itu.
Media sebelum ini melaporkan dua anggota Tentera Darat terkorban dalam insiden letupan grenad ketika menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun pada 16 Jun lalu. -airtimes.my
