Ada kisah diceritakan tentang bagaimana perbualan isteri-isteri tentera semasa berbelanja membeli ikan dan barangan dapur akhirnya membawa padah. Tanpa curiga si isteri memberitahu ‘taukey’ kedai dia membeli banyak barang sebagai keperluan memasak untuk bekalan suami yang hendak dikerah operasi.
Dia memberitahu destinasinya. Berita itu kemudian disampaikan taukey kedai yang rupa-rupanya pensimpati pengganas komunis kepada ejen bawah tanah.
Konvoi yang membawa anggota tentera ini kemudiannya diserang hendap musuh.
Ini kisah yang kerap diceritakan oleh veteran era Insurgensi bagaimana akibat ringan mulut rahsia tentang pergerakan operasi dibocorkan tanpa sedar. Walaupun ada yang berpendapat ia umpama kisah ‘urban legend’ tetapi tidak mustahil pernah berlaku.
Larangan mendedahkan maklumat berisiko tentang ketenteraan kepada pihak yang tidak sepatutnya memang telah lama termaktub dalam ATM.
Hari ini, dalam era digital yang serba pantas media sosial telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian. Tidak terkecuali kepada anggota tentera. Media sosial secara asasnya sama sahaja seperti media lain seperti akhbar, radio, televisyen dan laman berita portal, cuma bezanya adalah platform.
Perbezaan paling ketara ialah media sosial tidak mempunyai pengawal atau dalam bahasa media dipanggil ‘gate keeper’ untuk membenarkan apa yang boleh atau tidak.
Sebagai cabang platform media ia tetap mempunyai sisi positif dan negatif.

Justeru, keterbukaan ini membawa risiko besar terhadap aspek keselamatan dan kerahsiaan pertahanan negara, khususnya apabila maklumat sensitif dikongsi tanpa kawalan.
Tidak terkecuali anggota dan pegawai termasuk yang berpangkat tinggi.
Perbuatan yang dilihat ‘tidak disengajakan’ ini boleh membuka ruang kepada pihak luar, termasuk musuh.untuk menilai strategi, kekuatan, dan kelemahan ketenteraan negara.
Malah, titah terkini oleh Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperingatkan dengan tegas agar amalan ini dihentikan serta-merta.
Baginda menegaskan bahawa tindakan memuat naik segala perkara ke media sosial, termasuk berkaitan organisasi, lokasi gerakan dan strategi, adalah perbuatan yang cuai dan berisiko tinggi.

Ironinya, sejak dahulu hingga kini institusi tentera sangat berhati-hati terhadap media dengan pelbagai prosedur dan garis panduan ketat untuk sebarang liputan atau laporan.
Kini, kebocoran maklumat berlaku dari dalam oleh warga tentera sendiri. Tidak terkecuali daripada individu paling rapat termasuk pasangan.
Tindakan memuat naik gambar di kawasan larangan seperti dalam kem, paparan peralatan tertentu atau kehadiran tetamu penting tanpa kebenaran rasmi menunjukkan kelekaan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
Lebih merisaukan, apabila pegawai kanan yang sepatutnya menjadi teladan turut terlibat memuat naik kandungan yang mencetuskan keraguan terhadap tahap profesionalisme dan disiplin. Pegawai dan anggota perlu menyedari bahawa bukan semua hal boleh atau wajar dikongsi.
Biar pun niat sekadar ingin menunjukkan pencapaian atau rasa bangga, implikasi terhadap keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan.

Mengambil contoh bagaimana pasukan elit British, SAS pada 2019 bertindak menyingkirkan anggota yang muat naik gambar dalam laman sosial. Mereka dilarang keras merakam gambar-gambar foto selfie atau wefie semasa di kawasan operasi dan memuat naik di laman sosial.
Mereka bukan sahaja ‘hilang’ prestij bertugas dalam pasukan elit tersohor di dunia, malah juga hilang kelayakan menerima elaun pasukan khas berjumlah kira-kira £25,000 (sekitar RM165,000) setahun selain gaji.
Ramai dalam kalangan anggota pasukan ini yang dikenakan tindakan RTU (return to unit, dikembalikan ke unit asal) akan mengakhiri kerjaya mereka dalam pasukan tentera kerana tidak mahu menanggung ‘aib’ kerana disingkirkan daripada SAS.

Dalam dunia hari ini yang dihujani maklumat maka disiplin digital atau ‘digital discipline’ bukan lagi satu pilihan, tetapi suatu keperluan mutlak dalam memastikan keselamatan dan kerahsiaan negara terus terpelihara.
Kehadiran media sosial tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan etika tentera dan prinsip confidentiality yang menjadi tunjang kepada kekuatan sesebuah angkatan bersenjata.
Perlu satu garis panduan penggunaan media sosial dalam kalangan tentera diperketat dan dikuatkuasakan dengan tegas.
“Careless Talk Costs Lives” merupakan slogan yang digunakan secara meluas semasa Perang Dunia Kedua oleh British dalam mengingatkan rakyat agar tidak menyebarkan maklumat sensitif, walaupun secara tidak sengaja wajar diingati. – airtimes.my