Home Pertahanan dan Keselamatan Karnival PSPN 4 Divisyen di Bagan Datuk terjemahkan konsep WoGoS

Karnival PSPN 4 Divisyen di Bagan Datuk terjemahkan konsep WoGoS

A+A-
Reset

BAGAN DATUK, 26 MEI – Karnival Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) Peringkat 4 Divisyen yang berlangsung di Dataran Bagan Datuk menjadi platform terbaik dalam mendekatkan masyarakat dengan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Karnival selama dua hari yang berakhir pada Ahad lalu menyaksikan kehadiran kira-kira 12,000 pengunjung pelbagai kaum.

Penganjuran program di bawah Teras 4 PSPN 2026-2030 itu memperlihatkan pendekatan Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) yang memberi ruang kepada rakyat memahami peranan sebenar pasukan keselamatan negara.

Hadir merasmikan karnival ini adalah Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak, Dato’ Khairudin Abu Hanipah mewakili Menteri Besar Perak.

Turut hadir Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Hj Mohd Shauari Hj Mat Piah dan Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Dato’ Mohd Rosli Abu Bakar.

Sepanjang dua hari penganjuran, kehadiran masyarakat daripada pelbagai lapisan umur membuktikan sambutan positif terhadap usaha memperkukuhkan hubungan antara tentera dan rakyat.

Pelbagai aktiviti interaktif seperti demonstrasi tempur tanpa senjata, pameran aset ketenteraan dan Survival Village memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri keupayaan serta kesiapsiagaan TDM.

Pendekatan santai menerusi pertandingan sukan tradisional, fun walk, persembahan busker dan jualan rahmah turut membantu mewujudkan suasana mesra antara anggota tentera dan masyarakat setempat.

Golongan kanak-kanak dan remaja pula didedahkan dengan dunia ketenteraan melalui pertandingan mewarna, kuiz interaktif dan aktiviti berkonsepkan latihan ketenteraan.

Inisiatif itu secara tidak langsung berjaya menyemai minat serta semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda sejak di peringkat awal.

Karnival tersebut juga memperlihatkan pelaksanaan konsep Whole-of-Government and Whole-of-Society (WoGoS) dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan komuniti setempat.

Kerjasama erat antara pihak tentera, agensi awam, sukarelawan dan masyarakat membuktikan pertahanan negara bukan hanya tanggungjawab pasukan keselamatan semata-mata.

Sebaliknya, ia memerlukan penglibatan menyeluruh rakyat dalam memastikan keamanan dan kedaulatan negara terus dipertahankan.

Melalui pendekatan WoGoS, masyarakat diberikan kefahaman bahawa setiap individu mempunyai peranan dalam menyokong agenda keselamatan negara.

Program seperti pemeriksaan kesihatan, derma darah dan reruai interaktif turut mencerminkan peranan TDM yang sentiasa dekat dengan rakyat serta prihatin terhadap kebajikan masyarakat.

Selain memperkukuhkan hubungan awam-tentera, karnival itu turut membuka peluang kepada orang ramai mengenali peranan Askar Wataniah sebagai benteng sokongan pertahanan negara.

Penganjuran PSPN Peringkat 4 Divisyen itu juga berjaya membantu merancakkan ekonomi setempat menerusi penglibatan usahawan kecil dan peniaga tempatan.

Secara keseluruhannya, karnival berkenaan berjaya mencapai objektifnya sebagai medium memperkukuhkan hubungan antara tentera dan masyarakat.

Ini sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme demi pertahanan negara yang lebih kukuh.-airtimes.my

KATA KUNCI : Angkatan Tentera Malaysia (ATM)Karnival Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN)Markas 4 DivisyenMINDEFTentera Darat Malaysia (TDM)

Leave a Reply