Home Pertahanan dan Keselamatan Transformasi organisasi Tentera Darat: Fungsi Jabatan Arah RSD kini diteruskan MK TD G6

Transformasi organisasi Tentera Darat: Fungsi Jabatan Arah RSD kini diteruskan MK TD G6

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 15 JUL – Transformasi organisasi Tentera Darat (TD) yang berkuat kuasa mulai 1 April lalu menyaksikan fungsi Jabatan Arah Rejimen Semboyan Diraja (Jab RSD) kini diteruskan di bawah Bahagian G6, Markas Tentera Darat (MK TD G6).

Perubahan itu merupakan sebahagian daripada usaha pemerkasaan struktur pemerintahan TD bagi memperkukuh pengurusan komunikasi, sistem maklumat serta keupayaan sistem perintah dan kawalan dalam menyokong keperluan operasi semasa dan masa hadapan.

Sebagai simbolik kepada perubahan tersebut, Jab RSD telah mengadakan Majlis Pembubaran di Wisma Pertahanan pada 19 Jun lalu selepas lebih tiga dekad berperanan sebagai markas pemerintahan Rejimen Semboyan Diraja.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Rejimen Semboyan Diraja Ke-10, Brigedier Jeneral Dato’ Dr. Adnan Ajis serta dihadiri warga Jab RSD.

Antara pengisian majlis ialah upacara simbolik menurunkan gambar dan papan nama Ketua Pegawai Semboyan serta bacaan doa sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan seluruh warga Jab RSD sepanjang penubuhannya.

Sejak beroperasi di Wisma Pertahanan pada 1988, Jab RSD bertanggungjawab merancang, membangun dan memastikan keupayaan sistem perintah dan kawalan Tentera Darat berada pada tahap yang diperlukan bagi menyokong pelaksanaan operasi.

Walaupun Jab RSD secara rasminya dibubarkan, fungsi teras yang dilaksanakan sebelum ini diteruskan melalui MK TD G6 selaras dengan struktur organisasi baharu Tentera Darat.

Penstrukturan semula itu turut mencerminkan komitmen Tentera Darat untuk terus memperkukuh keupayaan komunikasi, sistem maklumat dan pemerintahan seiring dengan keperluan persekitaran operasi yang semakin kompleks serta berteraskan pendigitalan.

Pembubaran Jab RSD turut menandakan berakhirnya satu era penting dalam sejarah Rejimen Semboyan Diraja, namun legasi serta kepakaran yang dibangunkan selama lebih 30 tahun akan terus diperkasakan menerusi peranan MK TD G6 dalam organisasi baharu Tentera Darat.-airtimes.my

KATA KUNCI : BeritaKementerian Pertahanan (MINDEF)MK TD G6Rejimen Semboyan DirajaTentera Darat Malaysia (TDM)

Leave a Reply