Industri pertahanan global hari ini menyaksikan kemunculan Turkiye sebagai pemain penting dalam pembangunan pesawat tempur generasi baharu. Di Ankara, jet pejuang generasi kelima KAAN bukan sekadar projek teknologi, tetapi simbol kedaulatan pertahanan negara itu.
Namun, di sebalik kejayaan penerbangan sulung KAAN pada Februari 2024, persoalan paling besar masih belum selesai iaitu enjin. Program pesawat tempur moden tidak hanya bergantung kepada reka bentuk kerangka, radar, avionik atau ciri hlimunan. Ia turut ditentukan oleh keupayaan menghasilkan enjin turbofand berkuasa tinggi yang stabil, tahan lasak dan mampu menyokong operasi jangka panjang.
Laporan mengenai cadangan penjualan enjin General Electric F110 oleh Amerika Syarikat kepada Turkiye menjadi perkembangan penting. Jika dimuktamadkan, pakej bernilai lebih $700 juta itu boleh memberi ruang masa kepada program KAAN untuk meneruskan fasa ujian dan pengeluaran awal, semeentara Ankara menunggu enjin domestiknya sendiri mencapai tahap matang.
Mengapa enjin F110 sangat kritikal bagi KAAN?

KAAN yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI), direka khusus sebagai pesawat tempur generasi kelima bagi menggantikan sebahagian armada F-16 Tentera Udara Türkiye secara berperingkat. Prototaip awal KAAN menggunakan enjin F110 buatan AS yang juga mempunyai sejarah penggunaan pada pesawat F-16.
Dari sudut teknikal, ini menunjukkan satu realiti yang penting. Turkiye sudah mampu membangunkan banyak komponen utama pesawat moden, tetapi pembangunan enjin jet pejuang generasi kelima ialah cabaran berbeza. Enjin seperti ini memerlukn teknologi bahan tahan haba, sistem penyejukan, kawalan digital, ujian ketahanan dan keupayaan pengeluaran yang sangat kompleks.
Rancangan jangka panjang Turkiye ialah menggunakan enjin tempatan TEI TF-35000. Namun, enjin itu masih berada dalam fasa pembangunan dan belum tersedia untuk operasi penuh. Oleh itu, F110 berfungsi sebagai “jambatan masa”. Tanpa akses kejapada enjin tersebut, jadual ujian, pensijilan dan pengeluaran awal KAAN boleh menjadi perlahan.
Dalam konteks ini, F110 bukan sekadar komponen mekanikal. Ia ialah faktor yang menentukan sama ada KAAN boleh bergerak daripada simbol teknologi kepada aset yang benar-benar boleh dikeluarkan, diuji dan akhirnya ditawarkan kepada pelanggan luar.
Isyarat baharu hubungan AS-TürkiyeÂ
Kelulusan penjualan F110 juga membawa makna geopolitik yang lebih luas. Hubungan pertahanan antara Washington dan Ankara sebelum ini terjejas selepas Turkiye meneruskan perolehan sistem pertahanan udara S-400 dari Rusia pada tahun 2017.
Isu itu membaw kepada penyingkiran Turkiye daripada program F-35 pada tahun 2019 dan sekatan di bawah undang-undang CAATSA (Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act).
Oleh itu, sebarang ruang baharu dalam kerjasama pertahanan AS-Turkiye perlu dibaca secara berhati-hati. Penjualan F110, jika diteruskan tidak bermaksud semua pertikaian lama sudah selesai. Isu S-400, F-35, kawalan eksport dan bantahan politik di Kongres AS menjadi faktor yang boleh mempengaruhi hubungan dua hala.
Namun, langkah ini tetap menunjukkan bahawa Washington dan Ankara masih mempunyai kepentingan bersama. Bagi AS, Turkiye kekal sekutu NATO yang memegang kedudukan strategik di Laut Hitam, Timur Tengah dan rantau Mediterranean.
Bagi Turkiye pula, akses kepada enjin AS memberi nafas kepada program KAAN sebelum enjin tempatan benar-benar matang. Di sinilah letaknya paradoks KAAN. Pesawat itu dibangunkan sebagai lambang kemandirian pertahanan Turkiye, tetapi pada fasa awal ia masih memerlukan komponen strategik dari AS. Kebergantungan ini memberi manfaat jangka pendek, tetapi turut mengekalkan pengaruh Washington terhadap program tersebut.
Peluang eksport dan batas kawalan ASÂ

Akses kepada F110 boleh meningkatkan keyakinan pasaran terhadap KAAN. Sebelum ini, negara luar (pembeli) kebiasaannya tidak hanya melihat bentuk pesawat atau janji keupayaan, tetapi turut menilai jadual penyelenggaraan dan risiko serta komponen.
Indonesia sudah pun mendahului pasaran dengan menandatangani perjanjian memperoleh 48 pesawat KAAN. Perkembangan itu memberi isyarat bahawa Turkiye bukan lagi sekadar membangunkan pesawat untuk kegunaan sendiri, tetapi mahu memasuki pasaran eksport jet pejuang generasi baharu.
Bagaimanapun, kejayan eksport KAAN masih belum boleh dianggap terjamin selagi pesawat itu menggunakan enjin F110, eksport kepada negara ketiga berpotensi tertakluk kepada lessen dan kawalan AS.
Ini bermaksud pembeli bukan sahaja perlu berurusan dengan Ankara, tetapi juga perlu mengambil kira kedudukan Washington terhadap pemindahan komponen strategik. Negara di Timur Tengah, Asia atau Eropah mungkin melihat KAAN sebagai alternatif kepada F-35 atau pesawat generasi baharu Barat yang lebih mahal dan terikat dengan syarat ketat.
Tetapi minat pasaran perlu dibezakan daripada kontrak rasmi. Setakat ini, KAAN masih perlu membuktikan prestasi ujian, kos hayat, jadual penghantaran dan keupayaan sokongan jangka panjang.
Antara cita-cita dan realiti
KAAN meletakkan Türkiye dalam kelompok kecil negara yang berani membangunkan pesawat tempur generasi kelima sendiri. Dari sudut industri, projek ini menunjukkan kemajuan besar Ankara dalam reka bentuk pesawat, integrasi sistem dan pembangunan ekosistem pertahanan tempatan.
Namun, kejayaan sebenar KAAN tidak boleh diukur melalui penerbangan sulung atau kontrak awal semata-mata. Ujian lebih besar ialah sama ada pesawat itu boleh dihasilkan secara konsisten, disokong sepanjang hayat operasi dan dieksport tanpa terlalu terdedah kepada risiko politik pembekal luar.
Jika penjualan F110 dimuktamadkan, ia akan menjadi talian hayat sementara bagi program KAAN. Langkah ini memberi Türkiye masa untuk meneruskan pembangunan pesawat tersebut sambil menunggu TF35000 matang, walaupun ia belum memberikan kebebasan teknologi sepenuhnya.
Buat masa ini, KAAN membuktikan bahawa Türkiye telah melangkah ke fasa serius dalam pembangunan pesawat tempur generasi kelima. Cabaran seterusnya adalah untuk membuktikan bahawa cita-cita kemandirian tersebut mampu berdiri di atas enjin sendiri.
