Dunia geopolitik maritim hari ini menuntut kepantasan yang tinggi. Kecekapan ini bukan sahaja diperlukan di medan tempur, tetapi juga di limbungan kapal. Apabila Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) menerima kembali dua buah kapal pemusnah USS Chung-Hoon (DDG 93) dan USS James E. Williams (DDG 95) lebih awal daripada jadual, perkembangan ini bukan sekadar berita penyelenggaraan biasa.
Kedua-dua kapal pemusnah kelas Arleigh Burke Flight IIA ini baru sahaja menamatkan fasa naik taraf yang dipanggil Depot Modernization Period (DMP) di bawah program DDG Modernization 2.0. Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian kejuruteraan biasa, tetapi merupakan satu anjakan paradigma dalam pengurusan projek pertahanan. Ia membuktikan bahawa aset yang sudah berusia dua dekad mampu disuntik dengan “nyawa baharu” untuk menewaskan ancaman paling canggih abad ini, malah disiapkan lebih awal daripada jangkaan.
Nilai utama daripada perkembangan ini terletak pada dua perkara. Pertama, USN berjaya memanjangkan hayat operasi kapal lama melalui naik taraf sistem tempur, sistem peperangan elektronik dan persediaan untuk menerima radar generasi baharu. Kedua, penyiapan yang lebih awal ini menunjukkan bahawa jadual pemodenan kapal boleh dipercepat jika perancangan antara pihak limbungan, kontraktor dan agensi perolehan kerajaan diselaraskan dengan kemas.
Flight IIA dan keperluan pemodenan pertengahan hayat

USS Chung-Hoon dan USS James E. Williams mula ditauliahkan dalam perkhidmatan pada 2004. Selepas dua dekad beroperasi, kedua-dua kapal ini memasuki fasa kritikal dalam kitaran hayat sebuah kapal perang moden. Pada fasa ini, sesebuah angkatan laut mempunyai dua pilihan; sama ada membiarkan kapal tersebut ketinggalan zaman, atau menaik tarafnya agar kekal relevan dalam misi pertahanan udara, perlindungan armada, dan operasi jarak jauh.
Pilihan USN melalui program DDG MOD 2.0 jelas mengambil pendekatan kedua. Rangka dan struktur kapal Flight IIA ini sebenarnya masih kukuh dan mempunyai nilai operasi yang tinggi. Namun, sistem dalaman kapal perlu diubah suai bagi menghadapi medan ancaman alaf baharu.
Jika dahulu fokus utama kapal pemusnah adalah untuk menangkis pesawat musuh dan peluru berpandu jelajah konvensional, kini mereka perlu berdepan ancaman yang jauh lebih rumit. Ini termasuklah serangan peluru berpandu hipersonik, taktik peperangan elektronik, ancaman dron (UAV), serta persekitaran elektromagnet yang semakin padat dan sesak.
PAE Maritime dan pelajaran pengurusan projek
Portfolio Acquisition Executive Maritime salah satu aspek yang memainkan peranan penting dalam kejayaan ini. Dalam kenyataan rasmi Tentera Laut AS, pejabat pengurusan ini memainkan peranan besar dalam mempercepatkan proses perolehan, perancangan dan pelaksanaan projek pemodenan ini. Hasilnya, keupayaan tempur kapal dapat dikembalikan semula kepada armada dengan jauh lebih pantas.
Bagaimanapun, kita ini perlu memperincikan peranan ini dengan adil. Kejayaan ini bukanlah bermakna birokrasi kerajaan “dihapuskan” sepenuhnya secara mutlak. Lebih tepat lagi, penubuhan PAE Maritime merupakan usaha USN untuk mewujudkan rantaian akauntabiliti yang lebih jelas dalam menguruskan projek pemodenan berskala besar.
Proses yang rumit ini melibatkan kerjasama era tantara limbungan kapal swasata seperti General Dynamics NASSCO, pusat penyelenggaraan serantau Tentera Laut AS serta pasukan pemasangan daripada pihak kerajaan dan industri pertahanan. Pendekatan ini membuktikan satu perkara penting; teknologi baharu tidak cukup jika proses pelaksanaannya lambat. Dalam dunia pertahanan moden, kecekapan mengurus jadual kerja di limbungan juga adalah sebahagian daripada kesiapsiagaan tempur yang sebenar.
Kepentingan sebenar radar SPY-6 dan sistem SEWIP

Satu perkara penting perlu diperbetulkan dalam naratif pemodenan ini adalah status pemasangan radar canggih AN/SPY-6(V)4. Pemasangan radar ini belum lagi lengkap sepenuhnya pada USS Chung-Hoon dan USS James E. Williams melalui fasa DMP kali ini. Mengikut pelan DDG MOD 2.0, SPY-6(V)4 sebenarnya dijadualkan sebagai fasa backfit (pemasangan fasa seterusnya) bagi kapal-kapal Flight IIA awal.
Sebaliknya, pencapaian paling jelas yang berjaya diselesaikan dalam fasa DMP kali ini ialah pemasangan sistem AN/SLQ-32(V)7 Surface Electronic Warfare Improvement Program (SEWIP Block III). Melalui kaedah penggiliran ini, kapal perang akan menerima SEWIP Block III dan naik taraf sistem sokongan terlebih dahulu.
Kapal kemudiannya akan berlayar semula, dan hanya akan kembali ke limbungan untuk pemasangan radar baharu pada tempoh penyelenggaraan yang seterusnya. Sistem ini memberikan lonjakan luar biasa dalam peperangan elektronik, khususnya dalam keupayaan mengesan, mengganggu (jamming), dan melindungi kapal daripada serangan gelombang electromagnet musuh.
Apabila radar AN/SPY-6(V)4 dipasang kelak, ia akan membawa perbezaan teknikal yang menarik berbanding varian asal. Sebagai perbincangan, varian SPY-6 (V)1 yang digunakan pada kapal Flight III (kapal versi baharu) menggunakan empat muka antena tetap dengan 37 Radar Modular Assemblies bagi setiap muka.
Manakala, varian SPY-6(V)4 yang direka khas untuk kapal lama Flight IIA pula mengekalkan empat muka antena tetap dengan saiz lebih kecil, iaitu 24 RMA bagi setiap muka.
Perbezaan ini menunjukkan satu bentuk kompromi reka bentuk yang bijak. USN mahu membekalkan sebahagian daripada kelebihan radar generasi baharu ke dalam kapal lama, tanpa perlu merombak atau menukar keseluruhan kerangka asal kapal.
Oleh itu, projek SPY-6(V)4 bukan sekadar soal membeli radar yang lebih besar atau canggih. Ia adalah usaha untuk menyepadukan sensor alaf baharu dengan batasan ruang, bekalan kuasa elektrik, sistem penyejukan dan struktur kapal yang dibina berasaskan teknologi generasi terdahulu.
Aegis Baseline 10: Sasaran mendekati keupayaan Flight III
Selain aspek fizikal dan perkakasan, program DDG MOD 2.0 ini turut meliabtkan naik taraf sistem perisian tempur utama, iaitu Aegis Baseline 10. Sistem ini merupakan tulang belakang yang mengawal keseluruhan sistem pertahanan udara dan pengurusan peluru berpandu pada kapal pemusnah AS.
Walau bagaimanapun, frasa “setaraf Flight III” perlu digunakan secara berhati-hati. Hakikantya, kapal versi Flight III yang baharu dibina menggunakan konfigurasi radar SPY-6(V)1 yang lebih besar dan berkuasa, manakala kapal lama Flight IIA yang dimodenkan menerima pakej backfit yang disediakan mengikut had ruagnya.
Lebih tepat, program pemodenan ini bertujuan membawakan sebahagian daripada keupayaan tempur generasi Flight III kepada kapal-kapal Flight IIA. Dengan adanya gabungan sistem SEWIP Block III, persediaan sistem tempur serta rancangan pemasangan SPY-6(V)4, kapal lama ini mampu memikul peranan operasi yang lebih berat di lautan. Namun begitu, tahap keupayaan sebenar kapal-kapal ini bergantung kepada konfigurasi akhir, siri ujian operasi di laut dan sejauh mana kelancaran integrasi antara sistem-sistem tersebut.
Pelajaran penting untuk armada moden

Kejayaan menyiapkan fasa pemodenan DMP bagi USS Chung-Hoon dan USS James E. Williams lebih awal daripada jadual memberikan isyarat yang sangat penting kepada komuniti pertahanan global. Ia membuktikan bahawa kapal perang lama tidak semestinya using dan terpaksa dibersarakan awal, asalkan reka bentuk asalnya mempunyai ruang dan fleksibiliti untuk dimodenkan.
Namun, kunci utamanya ialah projek pemodenan hanya akan memberi nilai impak yang tinggi sekiranya ia dilaksanakan dengan pengurusan jadual, sumber dan pemahaman batas teknikal yang jelas.
Bagi pemerhati dan penganalisis pertahanan, pengajaran terbesar bukan sekadar nama SPY-6 atau Aegis. Pengajaran jauh lebih berharga adalah tentang bagaimana sebuah angkatan laut mengurus aset pertengahan hayat mereka dalam era di mana ancaman teknologi musuh berkembang lebih pantas daripada tempoh masa yang diperlukan untuk membina sesebuah kapal perang yang baharu.
Dalam konteks itu, DDG MOD 2.0 menjadi contoh terbaik bahawa kesiapsiagaan sesebuah armada laut tidak hanya dibina di tengah lautan luas. Tetapi, ia bermula limbungan, rundingan kontrak, jadual kerja serta disiplin yang tinggi untuk menyerahkan keupayaan tempur tepat pada waktunya. -airtimes.my
