Home DiskusiUndur program KF-21, Indonesia tidak gagal sepenuhnya

Undur program KF-21, Indonesia tidak gagal sepenuhnya

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

Indonesia membawa harapan besar apabila bercita-cita untuk menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang menguasai bidang pembangunan aeroangkasa iaitu pesawat tempur.

Malangnya, impian untuk muncul sebagai negara pengeluar bersama pesawat tempur di rantau ini tidak kesampaian.

Ini berikutan negara itu secara rasmi menarik diri daripada program pembangunan bersama pesawat pejuang KF-21 Boramae dengan Korea Selatan.

Keputusan dibuat selepas Jakarta melengkapkan pembayaran akhir sebanyak 600 bilion won (AS$395 juta) seperti yang dipersetujui dalam rundingan semula kedua-dua negara.

Pembayaran itu mengakhiri polemik panjang berhubung tunggakan komitmen kewangan Indonesia dalam projek aeroangkasa strategik berkenaan.

Pengesahan penerimaan dana itu diumumkan Pentadbiran Program Perolehan Pertahanan (DAPA) Korea Selatan.

Imbas kembali, penglibatan rasmi Indonesia dalam program KF-21 bermula pada Julai 2010 bagi program pembangunan pesawat pejuang yang ketika itu dikenali sebagai KF-X/IF-X.

Pada peringkat awal, Indonesia bersetuju menanggung 20 peratus daripada kos keseluruhan pembangunan pesawat tempur generasi 4.5 itu.

Namun, kekangan fiskal dan kelewatan pembayaran menyebabkan sumbangan negara itu dikurangkan daripada 1.6 trilion won kepada hanya 600 bilion won.

Pengurangan sumbangan tersebut turut menyebabkan Korea Selatan mengecilkan skop pemindahan teknologi yang bakal diterima Indonesia.

Antara perubahan terbesar ialah pembatalan rancangan pembinaan barisan pemasangan akhir pesawat di PT Dirgantara Indonesia (PTDI) di Bandung.

Selain itu, akses kepada data kejuruteraan kritikal, pengetahuan teknikal dan pelan pembuatan juga dihadkan.

Ini bermakna Indonesia kehilangan peluang membangunkan keupayaan penyelenggaraan, naik taraf dan pengeluaran pesawat secara lebih berdikari pada masa depan.

Walaupun begitu, Jakarta dijangka menerima manfaat tertentu yang dipersetujui termasuk urusan berkaitan prototaip KF-21.

Keputusan itu dilihat sebagai perubahan strategi pertahanan dan bukannya kegagalan program sepenuhnya.

Dalam kalangan negara-negara serantau, sepertimana diketahui Indonesia lebih maju dalam bidang teknologi aeroangkasa menerusi beberapa program nasional yang dibangunkan sebelum ini.

PTDI merupakan pelopor dan satu-satunya syarikat aeroangkasa dan pengeluar pesawat berkeupayaan penuh di rantau ini.

Ia memiliki keupayaan menyeluruh merangkumi reka bentuk, pembuatan struktur, pengeluaran pesawat, dan penyelenggaraan pesawat awam serta tentera.

Kita perhatikan, Indonesia dalam tempoh lima tahun ini memilih untuk memberi keutamaan kepada pemodenan segera angkatan udara melalui pembelian pesawat dari pelbagai negara.

Pendekatan itu membolehkan negara berkenaan mempercepatkan peningkatan keupayaan tempur tanpa menunggu pembangunan industri tempatan.

Bagaimana pun, keputusan tersebut mewujudkan cabaran baharu kepada Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU).

Armada udara Indonesia kini terdiri daripada pesawat buatan Perancis, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Rusia, serta akan datang dari buatan China dan Türkiye.

Kepelbagaian platform itu dijangka meningkatkan kos penyelenggaraan, kerumitan rantaian bekalan alat ganti serta latihan kru teknikal.

Pembatalan program KF-21 Boramae juga dipercayai berkait dengan keperluan Jakarta mengimbangi peruntukan pertahanan bagi memenuhi keperluan ketiga-tiga cabang angkatan tentera.

TNI-AL turut melaksanakan perolehan besar termasuk kapal selam baharu, manakala TNI-AD meneruskan program pemodenan sistem peluru berpandu dan kenderaan berperisai.

Justeru, keputusan menarik diri daripada pembangunan bersama KF-21 bukan berpunca daripada kekurangan dana semata-mata.

Sebaliknya, ia merupakan pilihan strategik untuk menumpukan perbelanjaan kepada aset ketenteraan yang siap dibina dan boleh digunakan dalam tempoh lebih singkat.

Langkah itu juga mengurangkan risiko kelewatan serta peningkatan kos yang lazim berlaku dalam program pembangunan bersama berskala besar.

Keputusan mengundur diri dijangka tidak memberi kesan terhadap aspirasi Indonesia untuk membangunkan industri aeroangkasa pertahanan tempatan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply