Home Pertahanan dan Keselamatan DESAN Shipyard mulakan pembinaan kapal MPMS kedua APMM

DESAN Shipyard mulakan pembinaan kapal MPMS kedua APMM

A+A-
Reset

ISTANBUL, 29 JUN – Dua bulan selepas kontrak dimeterai, firma DESAN Shipyard telah memulakan pembinaan kapal misi pelbagai guna kedua (MPMS 2) APMM menerusi majlis peletakan lunas kapal.

Perkara ini dikongsikan DESAN menerusi hantaran pada laman Facebook rasmi syarikat.

Perkembangan terbaharu ini menandakan sisi positif projek tersebut yang disasarkan siap dalam tempoh 24 bulan sepertimana mengikut kontrak.

Peletakan lunas menandakan bermulanya pembentukan struktur utama MPMS 2, sekali gus menjadi satu daripada fasa penting dalam proses pembinaan kapal tersebut.

Majlis yang dilakukan pada 25 Jun lalu itu dihadiri pengurusan tertinggi DESAN bersama Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar dan wakil Kementerian Dalam Negeri, Shah Rizan Mohamad Sirat.

Turut hadir wakil APMM, Laksamana Pertama Maritim Zulinda Ramly serta Atase Pertahanan Malaysia di Turkiye, Kolonel Sazili Ghazali.

Dalam kenyataannya, Pengerusi Lembaga Pengarah DESAN, Cenk İsmail Kaptanoğlu memberitahu, projek pembinaan kapal tersebut kini berjalan lebih awal daripada jadual yang dirancang.


Dua bulan selepas kontrak dimeterai, Desan Shipyard mulakan pembinaan kapal MPMS kedua untuk Maritim Malaysia. /Gambar: Desan Shipyard


Menurut beliau, kemajuan projek itu mencerminkan hubungan strategik yang semakin kukuh antara Turkiye dan Malaysia dalam bidang pertahanan dan keselamatan maritim.

“DESAN komited membawa kepakaran kejuruteraan serta teknologi terkini industri pertahanan Turkiye bagi memperkukuhkan keupayaan maritim Malaysia melalui projek berimpak tinggi itu,” ujarnya.

Ketika ini firma DESAN sedang membina MPMS pertama yang dijangka siap seawal Februari 2027, manakala kapal kedua disasarkan siap pada awal 2028.

Difahamkan, MPMS pertama akan disiapkan sebelum Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027 supaya membolehkan kapal ini terlibat sama.

Kedua-dua kapal MPMS yang dibina sepanjang 99 meter bakal menjadi kapal terbesar dan paling berkeupayaan dalam armada APMM apabila siap kelak.

Setiap sebuah MPMS dilengkapi empat buah bot pemintas bagi melancarkan operasi penguatkuasaan di lautan.

Kapal pertama yang dibeli pada 2024 berharga kira-kira RM304.29 juta manakala kapal kedua setahun kemudian pula RM339.85 juta.

Kontrak MPMS merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan mempertingkat aset dan kesiapsiagaan APMM. – airtimes.my

KATA KUNCI : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)Desan ShipyardMulti Purpose Mission Ship Kedua (MPMS 2)

Leave a Reply