Home Pertahanan dan Keselamatan Dua anggota tentera cedera semasa latihan senjata

Dua anggota tentera cedera semasa latihan senjata

A+A-
Reset

GURUN, 30 JUN– Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan dua anggota Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) cedera dalam insiden kemalangan semasa Latihan Peningkatan Tempur (LPT) di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah, pada Isnin.

TDM dalam kenyataan memaklumkan, insiden kira-kira jam 6.15 petang itu melibatkan Sarjan Mohamad Firdaus Che Shaharudin dan Koperal Felix anak Franchis.

“TDM ingin memaklumkan bahawa keadaan semasa kedua-dua anggota adalah stabil,” menurut kenyataan itu.

Menurut TDM, kejadian berlaku ketika sesi latihan tembakan sedang dijalankan selepas senjata yang dikendalikan kedua-dua anggota berkenaan tersangkut dan tidak meletup.

Kedua-dua anggota kemudian melaksanakan tindakan segera mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan bagi menangani situasi tersebut, namun satu letupan berlaku secara tiba-tiba sehingga menyebabkan mereka cedera di bahagian kaki akibat terkena serpihan.

TDM memaklumkan, kedua-dua anggota diberi rawatan kecemasan awal di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan pasukan sebelum dikejarkan ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut.

Sarjan Mohamad Firdaus menerima rawatan pesakit luar dan telah dibenarkan pulang ke pasukan, manakala Koperal Felix kini menerima rawatan serta pemantauan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

“TDM telah menubuhkan satu Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca sebenar insiden ini secara terperinci dan menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

TDM turut memaklumkan Lapang Sasar Kem Hobart ditutup sementara bagi membolehkan proses siasatan berjalan lancar.

Menurut kenyataan itu, TDM memandang serius insiden berkenaan dan akan memastikan aspek keselamatan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan sentiasa diutamakan.

TDM turut meminta orang awam dan pengguna media sosial tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan serta menghormati privasi anggota terlibat dan keluarga mereka. -airtimes.my

KATA KUNCI : 4 RRDBeritaGuruninsiden letupanKedahKem HobartLatihan Peningkatan Tempurlatihan tembakanLPTRejimen Renjer DirajaTDMTentera Darat Malaysia

Leave a Reply