KUALA LUMPUR, 26 JUN – Pembatalan lesen eksport sistem Naval Strike Missile (NSM) oleh Norway bukan sekadar pertikaian kontrak, sebaliknya turut menyentuh soal kepercayaan dalam kerjasama pertahanan antarabangsa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan memandang serius keputusan unilateral Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport sistem tersebut.
“Isu ini bukan sekadar pertikaian kontrak, tetapi turut menimbulkan persoalan terhadap kepastian, kredibiliti dan kebolehpercayaan komitmen dalam kerjasama strategik antarabangsa.
“Bagi Malaysia, kepercayaan merupakan asas utama dalam mana-mana kerjasama pertahanan,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Menurut Mohamed Khaled, Malaysia kekal komited terhadap hubungan pertahanan dua hala dan kerjasama keselamatan antarabangsa yang berasaskan saling menghormati, kepercayaan serta pematuhan kepada komitmen yang dipersetujui.
Beliau berkata, walaupun perkembangan itu serius, ia tidak menjejaskan kesiapsiagaan operasi semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana ATM masih mempunyai aset dan sistem persenjataan sedia ada untuk melaksanakan tugas mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Dalam jawapan berasingan, Mohamed Khaled memaklumkan bahawa kontrak perolehan NSM dari Norway telah dilaksanakan mengikut syarat yang dipersetujui.
Beliau berkata, Kerajaan Malaysia telah membuat bayaran sebanyak RM634 juta kepada syarikat pembekal, iaitu kira-kira 95 peratus daripada nilai kontrak yang ditetapkan.
Bagaimanapun, penghantaran sistem itu tidak dapat diteruskan berikutan keputusan Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport kepada syarikat pembekal.
“Keputusan itu merupakan tindakan unilateral Kerajaan Norway yang berada di luar kawalan Kerajaan Malaysia dan bukan berpunca daripada kegagalan Malaysia memenuhi obligasi kontrak,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan telah menyuarakan bantahan dan kekecewaan secara tegas melalui saluran diplomatik.
Menurut beliau, Perdana Menteri telah membangkitkan perkara itu kepada rakan sejawatnya di Norway, manakala beliau sendiri mengemukakan bantahan secara langsung kepada Menteri Pertahanan Norway ketika forum Shangri-La Dialogue 2026.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang menuntut pemulangan bayaran serta pampasan sewajarnya bagi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.
Dalam menentukan hala tuju perolehan pertahanan selepas ini, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan akan memberi keutamaan kepada rakan strategik yang bukan sahaja mempunyai keupayaan teknologi, tetapi turut menunjukkan komitmen menghormati perjanjian, menjamin kesinambungan rantaian bekalan dan boleh dipercayai. -airtimes.my
