Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia laksana hak dan tanggungjawabnya di Selat Melaka selaras dengan UNCLOS 1982

Malaysia laksana hak dan tanggungjawabnya di Selat Melaka selaras dengan UNCLOS 1982

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan hak dan tanggungjawab Malaysia sebagai negara persisir di Selat Melaka dilaksanakan selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS 1982), termasuk dalam aspek keselamatan pelayaran dan perlindungan kedaulatan negara.

Beliau berkata, walaupun kapal asing mempunyai hak transit di laluan strategik antarabangsa itu, Malaysia masih berhak mengambil langkah perlu bagi memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara.

“Walaupun kapal asing mempunyai hak transit di Selat Melaka, Malaysia tetap berhak mengambil langkah bagi memastikan keselamatan pelayaran, melindungi kedaulatan negara, memelihara alam sekitar marin serta menangani ancaman terhadap keselamatan perairan negara,” katanya dalam penyataan jawapan lisan di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Menurut Mohamed Khaled, Selat Melaka merupakan antara laluan perkapalan paling strategik di dunia kerana menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan.

Pada 2025, lebih 102,000 kapal melalui Selat Melaka, dengan laluan itu mengendalikan kira-kira 40 peratus dagangan laut dunia serta hampir satu pertiga nilai dagangan global.

Kedudukan strategik itu, jelas beliau, dimanfaatkan Malaysia melalui pembangunan sektor pelabuhan, logistik, perkapalan, perdagangan dan perkhidmatan maritim, sekali gus menjadikan negara sebagai hab perdagangan serta pengangkutan laut penting di rantau ini.

Dari aspek pertahanan dan keselamatan, beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sentiasa mengekalkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi di Selat Melaka.

Malaysia juga, menurut beliau, terus melaksanakan Malacca Strait Patrol (MSP) bersama Indonesia, Singapura dan Thailand sejak 2004, merangkumi rondaan laut, rondaan udara Eyes in the Sky serta perkongsian maklumat risikan.

Mohamed Khaled berkata, kerjasama itu berjaya meningkatkan keselamatan Selat Melaka, mengurangkan jenayah maritim dan mengukuhkan keyakinan komuniti perkapalan antarabangsa.

Menurut beliau, kejayaan MSP turut membuktikan keupayaan negara-negara persisir mengurus keselamatan Selat Melaka secara efektif, selain mengekang campur tangan negara luar di laluan maritim berkenaan sehingga kini. – airtimes.my

KATA KUNCI : BeritaDato’ Seri Mohamed Khaled Nordin (MENHAN)PertahananSelat Melaka

Leave a Reply