WASHINGTON, 25 JUN – Amerika Syarikat sedang meneliti pilihan bagi memenuhi beberapa permintaan pertahanan Turkiye, termasuk isu pesawat pejuang F-35 dan penjualan enjin jet untuk program pesawat pejuang KAAN, menjelang Sidang Kemuncak NATO di Ankara pada 7 hingga 8 Julai.
Perkara itu kembali menjadi tumpuan selepas Presiden AS, Donald Trump, berkata beliau berkemungkinan mengambil langkah yang akan membuatkan Turkiye “sangat gembira” apabila ditanya mengenai permintaan Ankara berhubung F-35 dan enjin jet.
Trump, yang bercakap ketika pertemuan di Rumah Putih bersama Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, turut menegaskan kedudukan Turkiye sebagai negara anggota penting pakatan itu.
“Turkiye ialah anggota NATO. Ada pihak tidak menganggapnya begitu, tetapi ia benar-benar anggota NATO. Ia anggota NATO yang kuat,” kata Trump.
Trump turut mengesahkan beliau merancang untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin NATO di Ankara atas rasa hormat kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan.
“Saya pergi kerana menghormati Presiden Erdoğan,” katanya.
Menurut Trump, kekuatan ketenteraan Turkiye sering tidak difahami sepenuhnya, sambil menyatakan Ankara mempunyai angkatan tentera yang kukuh dan menggunakan sejumlah besar kelengkapan ketenteraan buatan AS.
Naib Presiden AS, JD Vance, berkata pegawai pentadbiran termasuk Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, sedang meneliti sama ada syarat undang-undang AS dipenuhi bagi membolehkan sebarang keputusan berhubung penjualan F-35 kepada Turkiye.
Isu itu berkait rapat dengan penggantungan Turkiye daripada program F-35 pada 2019 selepas Washington membantah pembelian sistem pertahanan udara S-400 buatan Rusia oleh Ankara. AS sebelum ini mendakwa sistem berkenaan boleh menjejaskan keselamatan pesawat pejuang stealth F-35 dan tidak serasi dengan sistem NATO.
Turkiye menolak dakwaan tersebut dengan menyatakan kedua-dua sistem itu tidak akan diintegrasikan. Ankara juga pernah mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya teknikal bagi meneliti perkara berkenaan.
Selain isu F-35, pentadbiran Trump dilaporkan bergerak untuk meneruskan cadangan penjualan enjin F-110 bernilai AS$750 juta kepada Turkiye. Enjin keluaran General Electric itu dijangka digunakan bagi pesawat pejuang KAAN, iaitu pesawat pejuang generasi kelima yang dibangunkan oleh Turkiye.
Menurut laporan media AS, proses penjualan itu berdepan halangan di Kongres selepas Ahli Dewan Perwakilan Gregory Meeks, Demokrat tertinggi dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan, meletakkan sekatan terhadap penjualan tersebut susulan pemilikan berterusan sistem S-400 oleh Turkiye serta kebimbangan berkaitan Syria dan Greece.
Meeks mengkritik langkah pentadbiran Trump untuk meneruskan penjualan itu dengan menyifatkannya sebagai menunjukkan “penghinaan terhadap kuasa pengawasan Kongres”. – airtimes.my
