Home Pertahanan dan KeselamatanChoe Hyon: Antara propaganda dan realiti armada nuklear Kim Jong-un

Choe Hyon: Antara propaganda dan realiti armada nuklear Kim Jong-un

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Pengawasan armada sesebuah negara sudah semestinya harus dipantau dengan teliti dari semasa ke semasa. Di sebalik luasnya lautan, adanya benteng yang menjadi nadi keamanan negara daripada diceroboh oleh ancaman luar yang boleh muncul secara tidak dijangka. Atas dasar kesedaran inilah, Semenanjung Korea sekali lagi berdepan isyarat ketenteraan besar dari Pyongyang apabila Kim Jong-un mengalihkan tumpuan strategiknya ke domain maritim.

Melalui pentauliahan kapal pemusnah Choe Hyon, Korea Utara cuba menunjukkan bahawa doktrin pencegahan nuklearnya tidak lagi hanya berpaut pada pelancar darat, tetapi sedang diperluas ke laut. Menurut laporan media antarabangsa yang memetik media negara Korea Utara, Choe Hyon ialah kapal pemusnah 5,000 tan yang disifatkan Pyongyang sebagai simbol kemajuan rancangan memperlengkapkan tentera lautnya dengan keupayaan nuklear.

Korea Utara mendakwa kapal itu mampu membawa sistem antipesawat, antikapal serta peluru berpandu balistik dan jelajah berkeupayaan nuklear. Dakwaan sedemikian memberi nilai propaganda yang besar kepada rejim, tetapi tahap kesiagaan operasi, kebolehpercayaan sistem dan keberkesanan sebenar Choe Hyon masih belum dapat disahkan secara bebas. Dalam isu ketenteraan Korea Utara, jurang antara paparan rasmi dan keupayaan sebenar ini sering menjadi persoalan utama.

Cita-cita Kapal Perang Lebih Besar

 

Korea Utara turut menyatakan hasrat membina kapal perang lebih besar, termasuk kapal pemusnah kelas 10,000 tan, selain membangunkan apa yang digambarkan sebagai “senjata rahsia bawah air” dan Choe Hyon bukan satu-satunya isyarat.

Laporan mengenai rancangan itu menunjukkan Pyongyang mahu bergerak daripada armada pesisir yang tradisional kepada aset yang lebih besar, lebih simbolik dan lebih sesuai untuk memaparkan status kuasa maritim.

Bagaimanapun, hasrat membina kapal besar tidak semestinya bermaksud Korea Utara sudah memiliki angkatan laut biru yang sudah mampan. Pembinaan kapal perang moden memerlukan lebih daripada lambung kapal. Ia menuntut sensor, sistem tempur, komunikasi, latihan kru, penyelenggaraan, rangkaian logistik dan ujian laut yang panjang.

Namun, bagi negara yang masih berdepan sekatan ekonomi antarabangsa, rancangan kapal 10,000 tan lebih tepat dibaca sebagai cita-cita strategik dan mesej politik, bukan bukti bahawa Pyongyang sudah mampu menandingi armada Amerika Syarikat atau Korea Selatan.

Menguji Imbangan Kuasa Maritim

Langkah Kim memperkukuh armada permukaan berkeupayaan peluru berpandu tidak serta-merta menghapuskan kelebihan konvensional Amerika Syarikat dan Korea Selatan. Hal ini demikian, kedua-dua sekutu itu masih mempunyai kelebihan besar dari segi aset permukaan, kapal selam, pesawat rondaan maritim, satelit, radar, sistem pertahanan peluru berpandu dan rangkaian perisikan.

Namun, ancaman Korea Utara tidak perlu bersifat simetri untuk menjadi serius. Jika kapal permukaan Pyongyang benar-benar mampu membawa peluru berpandu nuklear taktikal, ia boleh menambah beban pengawasan kepada Washington dan Seoul. Setiap platform bergerak di laut menambah satu lagi sasaran yang perlu dikesan, dijejaki dan dinilai dalam keadaan krisis.

Nilai strategiknya bukan pada keupayaan menewaskan armada sekutu secara terbuka, tetapi pada kemampuannya merumitkan kiraan risiko pihak lawan.

Kapal Selam SLBM: Ancaman Nyata atau Propaganda Keupayaan?

Komponen bawah laut lebih sensitif kerana ia berkait langsung dengan keupayaan serangan balas kedua. Pembangunan peluru berpandu balistik lancaran kapal selam atau SLBM menunjukkan usaha Pyongyang membina pilihan pelancaran nuklear yang tidak sepenuhnya bergantung kepada pangkalan darat. Secara teori, kapal selam memberi kelebihan kerana ia lebih sukar dikesan berbanding pelancar tetap di darat.

Namun, keupayaan kapal selam Korea Utara masih mempunyai batas besar. NTI menganggarkan Korea Utara memiliki antara 64 hingga 86 kapal selam, tetapi sebahagian besarnya ialah kapal selam pesisir, kapal selam mini dan platform konvensional lama. Sebahagian pakar turut meragui status operasi penuh armada itu kerana usia, reka bentuk lama dan keterbatasan teknologi.

Analisis 38 North pula menyatakan bahawa kapal selam taktikal nuklear Korea Utara yang dipamerkan sebelum ini merupakan ubah suai besar daripada kapal selam diesel-elektrik kelas Romeo era lama. Platform seperti ini boleh memberi nilai politik dan pencegahan, tetapi ia juga terdedah kepada kelemahan asas seperti kebisingan, tempoh selaman terhad dan keterdedahan kepada peperangan anti-kapal selam moden.

Dalam logik pencegahan nuklear, Korea Utara tidak perlu memiliki armada kapal selam sempurna untuk mencipta kebimbangan. Cukup jika pihak lawan percaya bahawa sebahagian kecil platformnya mungkin terselamat, bergerak dan mampu melancarkan serangan balas terhad. Di sinilah kekuatan propaganda dan risiko operasi bertemu.

Ancaman Sedang Dibina, Bukan Armada Yang Sudah Matang

Secara keseluruhannya, rancangan Korea Utara untuk membina armada laut nuklear melalui Choe Hyon, sasaran kapal 10,000 tan dan pembangunan SLBM, menandakan fasa baharu dalam strategi pencegahan Pyongyang. Namun, ancaman ini perlu dibaca dalam dua lapisan ; ia merupakan isyarat politik bahawa Kim Jong-un mahu memindahkan sebahagian kuasa nuklear Korea Utara ke laut, manakala pada masa sama, ia masih berdepan persoalan besar dari segi kesiagaan operasi, kebolehpercayaan platform, latihan kru dan daya tahan sistem.

Impian samudera Kim Jong-un belum boleh dianggap sebagai armada nuklear yang matang. Tetapi ia sudah cukup untuk memaksa Amerika Syarikat, Korea Selatan dan pemerhati Indo-Pasifik menilai semula risiko maritim di Semenanjung Korea. Ancaman sebenar bukan kerana Pyongyang sudah menguasai laut, tetapi kerana ia sedang membina lebih banyak cara untuk menjadikan krisis masa depan yang lebih sukar diramal. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply