KUALA LUMPUR, 15 Jun – “Sejarah tercipta buat Malaysia! Alhamdulillah, penantian 43 tahun berakhir apabila kita layak ke Piala Asia 2023!,” luah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau menerusi hantaran di media sosialnya meluahkan rasa bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada Skuad Harimau Malaya yang layak ke Piala Asia 2023 sekali gus menamatkan penantian selama 43 tahun untuk beraksi dalam saingan tersebut.
Ismail Sabri berkata demikian selepas Skuad Harimau Melaya berjaya membenam Bangladesh dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakkan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
“Tahniah Harimau Malaya dan para pemain yang berjuang hingga ke tiupan wisel terakhir,
“Tahniah juga kepada para penyokong yang menyokong pasukan kita tanpa berbelah bagi. Kita teruskan perjuangan di Piala Asia 2023!,” kata Ismail Sabri.
Perdana Menteri yang turut hadir menyaksikan perlawanan itu malam tadi juga berkesempatan memberikan kata-kata semangat kepada pemain apabila Malaysia menjaringkan gol.
Menurutnya, persembahan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon pada malam tadi disifatkan sangat baik dan membanggakan.
Sementara itu Perdana Menteri ketika ditemui pemberita di stadium selepas perlawanan tersebut melahirkan rasa syukur dengan kemenangan Harimau Malaya pada malam Selasa.
“Saya ucapkan tahniah kepada pemain kita yang berusaha keras berjuang bermatian untuk memastikan kemenangan ini,” katanya.
“Terima kasih kepada penyokong Malaysia yang berada di stadium ataupun menonton di televisyen yang memberikan semangat kepada pasukan negara,
“Saya doakan selepas berjuang (habis-habisan) di Kelayakan Piala Asia kita boleh memberikan hadiah besar kepada Keluarga Malaysia dengan kejayaan di Piala Asia,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Malaysia menamatkan penantian lebih empat dekad apabila melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023.
Kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah 42 tahun pasukan negara gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.-airtimes.my