Home Sukan Chong Wei umum ´gantung raket´ selepas 19 tahun

Chong Wei umum ´gantung raket´ selepas 19 tahun

by Bernama

PUTRAJAYA, 13 Jun – Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei hari ini mengumumkan untuk ‘menggantung raket’ selepas 19 tahun mencurah keringat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Pengumuman mengenai persaraannya itu dilakukan dalam satu sidang media khas di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini.

Turut hadir pada sidang media itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Timbalan Menteri Steven Sim dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Pada sidang media dihadiri media tempatan dan luar negara tersebut, pemain berusia 36 tahun itu dalam nada sebak dan dilihat mengalirkan air mata, berkata ia adalah satu keputusan yang berat untuk dilakukan kerana beliau sangat sayangkan sukan badminton yang diceburinya sejak berusia 10 tahun.

“Hari ini, semua orang tahu saya mahu mengumumkan persaraan saya selepas 19 tahun dalam BAM. Memang berat untuk saya buat keputusan ini, kerana saya amat menyintai sukan ini. Tapi buat masa sekarang apa yang penting untuk saya sekarang adalah kesihatan saya.

“Saya berehat selama sebulan selepas pemeriksaan di Taiwan pada April dan berbincang dengan isteri saya dan keluarga mengenai keputusan ini. Saya juga berbincang dengan Datuk Norza dan YB Syed Saddiq, dan memutuskan untuk membuat pengumuman selepas Hari Raya.

“…lebih penting ialah saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua media yang sokong saya sepanjang 19 tahun karier saya. Bukan senang saya selalu pakai baju Gemilang Malaysia dan ke beberapa tempat untuk bermain di pelbagai kejohanan. Saya berbangga dapat memberikan keputusan yang terbaik untuk negara saya.

“Banyak orang lagi saya mahu berterima kasih. Saya hendak ucap terima kasih kepada KBS, MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan lebih penting BAM. Terima kasih istimewa kepada semua jurulatih saya terutamanya Datuk Misbun (Sidek) yang membentuk saya, Hendrawan, Sew Bock yang banyak ikut saya serta pegawai ISN.

“…dan terima kasih juga kepada keluarga, isteri saya. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong saya bertarung demi negara,” katanya dalam linangan air mata, sekali gus mengundang suasana sedih dalam kalangan mereka yang berada pada sidang media itu.

Chong Wei menjelaskan bahawa selepas menjalani pemeriksaan pada April lepas, doktor yang merawat beliau memintanya untuk terus berehat daripada menjalani latihan berat.

“Memang saya dan doktor sendiri sedar bahawa latihan untuk badmiton agak berat, dan selepas berbincang, saya dapat rasakan doktor keberatan untuk membenarkan saya meneruskan latihan berat,” jelasnya.

Chong Wei, bekas pemain nombor satu dunia, mendambakan 19 tahun hidupnya sebagai pemain badminton profesional dan menempa nama dalam sukan itu sebagai antara jaguh dunia yang disegani.

Antara pencapaian Chong Wei adalah memenangi pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali, pada edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Kali terakhir Chong Wei merangkul kejuaraan adalah pada saingan Terbuka Malaysia 2018 yang menjadi gelaran ke-12 dalam kerjayanya.

Pada September tahun lepas, Chong Wei disahkan menghidap kanser hidung peringkat awal dan mendapatkan rawatan di Taiwan.

Masalah kesihatan yang dialami Olahragawan Negara empat kali itu mula menjadi perhatian selepas beliau menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia di Jakarta-Palembang 2018.

Beliau disahkan sembuh sepenuhnya daripada penyakit itu selepas menjalani rawatan hampir empat bulan di Taiwan dan kembali menjalani latihan pemulihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pada awal Januari tahun ini.

Bagaimanapun, khabar angin pemain yang akan mencecah umur 37 tahun pada Oktober ini untuk bersara kembali bertiup kencang selepas difahamkan sudah sebulan tidak menjalani latihan sejak mengambil cuti pada hujung April bagi menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan.

Ia bagi mencegah kanser hidung yang dihadapinya menyerang kembali selepas mendapat nasihat daripada doktor yang merawatnya – Bernama

Related Articles

Leave a Reply