Home Semasa Boling anjuran Majlis Perniagaan Malaysia, UAE terima penyertaan menggalakkan

Boling anjuran Majlis Perniagaan Malaysia, UAE terima penyertaan menggalakkan

by Air Times News Network

ABU DHABI, 29 Okt – Majlis Perniagaan Malaysia (MBC) , Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Sabtu lalu telah menganjurkan satu pertandingan boling bertempat di Zayed Sports City, Abu Dhabi. Penganjuran ini disifatkan berjaya mencapai matlamatnya untuk menghimpunkan sebanyak mungkin penyertaan warga Malaysia yang bermaustautin di UAE dalam satu aktiviti sihat.

Seramai 99 peserta dari pelbagai latar belakang kerjaya mula berkumpul seawal jam 8.30 pagi sebelum pertandingan dimulakan pada jam 10.00 (waktu Abu Dhabi). Acara dimulakan dengan ucapan aluan oleh Duta Besar Malaysia ke Abu Dhabi, TYT Dato’ Syed Md Hasrin Tengku Hussin yang menzahirkan kebanggaannya yang tidak terhingga atas penyertaan yang begitu menggalakkan dan luar biasa.

Pelbagai kategori telah dipertandingkan antaranya kategori berkumpulan, jatuhan pin lelaki dan wanita serta kategori kanak-kanak. Bagi Presiden MBC, UAE, Fei Chin Kaw, penganjuran seumpama ini adalah sebahagian dari usaha dan tanggungjawab sosial organisasinya untuk bersama-sama berkumpul dengan rakyat Malaysia yang berada jauh dari tanah air dalam satu aktiviti yang boleh disertai pelbagai lapisan umur, agama dan latar belakang mereka di sini.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kedutaan Besar Malaysia Abu Dhabi dan para peserta terlibat yang memberikan komitmen tidak berbelah bagi demi menjayakan pertandingan ini. Ujarnya lagi, “Acara ini tidak akan mencapai matlamatnya tanpa komitmen dari semua pihak, selain itu, terima kasih yang tidak terhingga kepada penaja terlibat seperti Operon, Pelancongan Thailand, Sunway Resort & Hotel dan Ali Cafe”.

Naib Presiden MBC, UAE, Saudara Fahmy Ansara Dahalan amat berbangga atas kejayaan penganjuran ini di mana ianya dapat mengeratkan silaturahim di kalangan rakyat Malaysia yang menetap di sini. “Aktiviti seumpama ini akan diteruskan dari masa ke semasa sebagai satu aktiviti tahunan MBC, UAE. Bagi anda yang ingin mendapatkan pelbagai informasi menarik mengenai kami, sila ke laman Facebook Malaysia Business Council – UAE ” ujarnya. Seterusnya acara diakhiri dengan aktiviti bergambar berkumpulan sebagai tanda kenangan.

Related Articles

Leave a Reply