JOHOR BAHRU, 14 JUL – Kerajaan Negeri Johor memandang serius kebimbangan rakyat berhubung operasi Network School di Forest City. Ini termasuk dakwaan penglibatan warga Israel yang menyertai program tersebut menggunakan pasport negara kedua.
Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi menegaskan, pihak kerajaan negeri Johor sama sekali tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak gerakan yang bercanggah dengan undang-undang negara.
“Saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri ini sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan dan kepentingan Johor serta Malaysia,
“Kerajaan Negeri meminta agar Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan serta siasatan menyeluruh,” kata Menteri Besar Johor dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Onn Hafiz, siasatan tersebut perlu merangkumi semakan identiti, dokumen perjalanan, jenis pas, serta keselarasan antara tujuan kemasukan dengan aktiviti sebenar yang dijalankan oleh individu terlibat.
Selain agensi keselamatan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Digital turut diminta menentukan status sebenar operasi program terbabit sama ada ia memerlukan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang.
Di peringkat negeri pula, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor akan menyemak semula semua aspek pematuhan di bawah bidang kuasa masing-masing termasuk syarat lesen premis dan penggunaan tanah.
Kerajaan Negeri Johor turut menggesa agar tindakan tegas tanpa kompromi diambil oleh pihak berkuasa sekiranya hasil siasatan mendedahkan sebarang pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, atau unsur yang menjejaskan keselamatan negara. – airtimes.my
