PARIS, 25 JUN – Airbus Defence and Space menandatangani kontrak dengan Organisation for Joint Armament Cooperation (OCCAR), bagi pihak French Directorate General of Armaments (DGA), untuk membangunkan keupayaan baharu pesawat A400M Perancis dalam bidang risikan, pengawasan dan peninjauan (ISR).
Pembangunan itu dikenali sebagai Parallel Mission System (PMS) dan bertujuan melengkapkan A400M Perancis dengan keupayaan pelbagai misi, termasuk peranan sebagai platform arahan dan kawalan (C2) taktikal di udara.
Naib Presiden Eksekutif Air Power Airbus Defence and Space, Jean-Brice Dumont berkata, A400M merupakan pesawat serba boleh yang berpotensi besar untuk terus dikembangkan penggunaannya oleh angkatan tentera yang mengoperasikan pesawat berkenaan.
“Melalui pembangunan ini, Tentera Udara dan Angkasa Perancis memperoleh pesawat yang mampu menjadi alat arahan dan kawalan (C2) taktikal di udara,” ujar beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Airbus pada 16 Jun lalu.
Menurut Airbus Defence and Space, pembangunan PMS memberi tumpuan kepada integrasi sistem misi baharu di dalam pesawat, serta pemasangan konsol kesedaran situasi taktikal di ruang kargo untuk memantau pelbagai sensor dan menyelaras misi.
Pembangunan itu turut melibatkan rancangan untuk mengintegrasikan sensor optronik pada pesawat berkenaan.
Sistem misi baharu tersebut direka bagi membolehkan integrasi sensor dan sistem komunikasi tambahan, selain mengurus dron serta peluru berpandu yang dilancarkan dari ruang kargo pesawat.
Airbus Defence and Space memaklumkan, anak kapal kelak berupaya menyelaras misi yang melibatkan pasukan darat, helikopter termasuk jenis Tiger dan Caracal H225M, serta jet pejuang dalam mod tempur kolaboratif.
Selepas fasa pembangunan, peralatan baharu itu dijadualkan dipasang pada A400M Perancis yang pertama pada 2027, sebelum menjalani ujian penerbangan pada 2028.
Beberapa pesawat dalam armada Tentera Udara dan Angkasa Perancis kemudian akan dinaik taraf bagi membolehkan pemasangan kit PMS tersebut.
Dalam perkembangan yang sama, Airbus Defence and Space turut meneroka pembangunan keupayaan lain untuk A400M, termasuk gangguan elektronik jarak jauh, fungsi kapal induk (mother-ship) bagi pelancaran dron dan peluru berpandu ketika penerbangan, peningkatan kapasiti muatan kepada 40 tan, serta keupayaan memadam kebakaran. – airtimes.my
