Misil kruis berkelajuan supersonik dari India, BrahMos semakin mendapat perhatian di rantau Asia Tenggara. Pada ketika ini, Filipina menjadi negara tunggal di rantau ini untuk memiliki misil yang dihasilkan dari pembangunan bersama India dan Rusia pada tahun 2004.
Selepas negara kepulauan republik itu, misil Brahmos kini mendapat perhatian daripada Vietnam dan Indonesia, di mana kedua-dua negara ini berminat untuk mendapatkan misil ini dari Asia Selatan.
Pada akhir tahun lalu, Vietnam dilaporkan akan meterai perolehan bernilai US$700 juta bagi mendapatkan sejumlah aset tersebut. Namun begitu, perjanjian perolehan masih belum dilaksanakan dan dijangka akan dilakukan pada tahun ini.
Sekiranya berjaya, Vietnam akan menjadi negara kedua selepas Filipina untuk memiliki sistem misil ini.
Pada akhir minggu lalu, media India melaporkan Indonesia telah menghantar surat niat untuk memperolehi misil ini dengan nilai US$450 juta.
Apa yang menariknya, ketiga-tiga negara ASEAN ini berhadapan dengan keadaan tidak menentu di Laut China Selatan. Benar, di atas kertas, pada ketika ini kawasan perairan tersebut masih lagi terkawal berikutan tuntutan bertindih yang berterusan di antara negara-negara yang terlibat.
Namun begitu, perolehan sebegini seolah-olah memberikan isyarat bahawa ketiga-tiga negara ASEAN yang turut terlibat dengan pertindihan di Laut China Selatan mengambil serius akan postur pertahanan serta kedaulatan mereka.
Manila, Brahmos dan Laut China Selatan
Filipina, yang merupakan negara bekas jajahan dan sekutu Amerika Syarikat sudah tentu menjadi perhatian memandangkan mereka sentiasa berhadapan taktik kelabu (grey tactics) yang seringkali digunakan oleh China.
Malah, tuntutan bertindih China terhadap beberapa kawasan perairan Filipina ditempelak dengan kenyataan keras Manila yang berlandaskan keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara. Keputusan yang dibuat pada tahun 2016 itu memihak kepada Filipina yang menolak tuntutan China di kawasan perairan Laut China Selatan.
Tidak cukup dengan kenyataan, Manila menggunakan nama Laut Filipina Barat (West Philippines Sea) bagi merujuk kawasan perairan Laut China Selatan. Selain itu, negara kepulauan republik itu turut mempertingkatkan keupayaan tentera mereka, termasuk membeli 3 bateri BrahMos.
Perolehan yang bersejarah buat Filipina ini dilakukan bagi memperkukuhkan sistem pertahanan perairan negara itu.
Walaupun misil ini berkemampuan untuk mengempur sasaran sejauh 800 kilometer (500 km untuk varian dilancarkan dari udara), akan tetapi versi yang diperolehi melalui eksport mempunyai jarak maksimum pula sejauh 290 km.
Ini berikutan protokol Rejim Kawalan Teknologi Peluru Berpandu (Missile Technology Control Regime, MTCR) yang dianggotai India menghadkan jarak maksimum sistem persenjataan dieksport kepada 300 km sahaja.
Walaupun jarak berkurangan lebih daripada 50 peratus, ia tidak menghalang Manila untuk mengoperasikan misil kruis ini di kawasan mereka. Pada ketika ini, pangkalan Philippine Marine Corps Coastal Defense Regiment sedang giat dibangunkan di bahagian barat Luzon, yang berhadapan dengan perairan Laut China Selatan.
Mengikut pengiraan, misil yang ditempatkan di lokasi tersebut telah meletakkan Scarborough Shoal dalam lingkungan jarak serangan misil. Dan mungkin, pada masa hadapan, Filipina akan menempatkan satu lagi pangkalan baharu di kawasan lain dengan meletakkan BRP Sierra Madre di Second Thomas Shoal di bawah lembayung perlindungan Brahmos.
Pilihan Indonesia dan Vietnam?
Sama ada Vietnam dan Indonesia memperolehi platform yang sama, masih terlalu awal untuk dijangka.
Ini memandangkan kedua-dua negara ASEAN ini memiliki jet pejuang Sukhoi Su-27/30 dalam pegangan mereka. Ini dengan melihat kejayaan Su-30MKI yang dioperasikan oleh Tentera Udara India untuk melancarkan BrahMos dari platform udara.
Tambahan pula, Vietnam telah pun mempunyai pasukan pertahanan pesisir yang mengoperasikan K-300P Bastion (varian kepada Yakhont/Oniks) semenjak tahun 2011.
Namun begitu, Indonesia sebelum ini dilaporkan berminat untuk mendapatkan BrahMos yang berupaya untuk dilancarkan dari kapal. Ini dengan melihatkan komposisi armada Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL)
Sementara perolehan Vietnam dimuktamadkan, mungkin perolehan oleh Jakarta akan mendapat kata putus pada Hari Republik India pada 26 Januari ini. – airtimes.my
#AirTimes #teknologipertahanan #Brahmos