KUALA LUMPUR, 2 JUN – Norway menjelaskan bahawa lesen eksport Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia dibatalkan kerana sekatan keselamatan baharu negara itu, bukan disebabkan faktor Malaysia sebagai pembeli.
Keputusan itu dibuat susulan situasi keselamatan baharu serta sekatan terhadap eksport peralatan ketenteraan sensitif Norway.
“Keputusan itu dibuat susulan situasi keselamatan baharu serta sekatan terhadap eksport peralatan ketenteraan sensitif Norway.
“Keputusan itu bukan disebabkan Malaysia,” kata Menteri Pertahanan Norway, Tore O. Sandvik dalam rakaman video pendek yang disiarkan CNA pada Ahad.
Sandvik berkata, sekatan keselamatan Norway kini mengehadkan eksport peralatan ketenteraan sensitif kepada negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan rakan rapat NATO.
“Sekatan daripada pihak berkuasa keselamatan kini dihadkan kepada anggota NATO dan rakan rapat NATO,” jelas beliau.
Norway mohon maaf
Dalam rakaman sama, Sandvik menyatakan Norway memahami kesukaran yang dihadapi Malaysia susulan pembatalan eksport NSM tersebut.
“Kami faham perkara ini sukar untuk Malaysia. Kami memohon maaf atas kesukaran yang berlaku,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan pertemuannya dengan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Singapura sebagai baik, terbuka dan jujur.
“Kami mengadakan pertemuan dan perbualan yang baik hari ini (31 Mei 2026). Ia terbuka dan jujur. Mereka sangat berterus terang dan kami akan meneruskan dialog ini,” kata Sandvik.
Menurut laporan Nettavisen yang memetik NTB, Sandvik turut mengakui Malaysia amat tidak berpuas hati dengan keputusan Norway menarik balik lesen eksport tersebut.
“Pertemuan itu baik dan mesra, tetapi Malaysia menyampaikan maklum balas secara terus terang bahawa mereka amat tidak berpuas hati dengan penarikan balik lesen eksport itu,” ujarnya.
Norway tetap mahu meneruskan dialog dengan Malaysia, walaupun keputusan membatalkan lesen eksport NSM sudah dibuat.
“Kami memahami kesukaran ini dan akan meneruskan dialog dengan Malaysia. Kami mahu mengekalkan hubungan dan perkongsian yang baik dengan Malaysia seperti sebelum ini,” jelas beliau.
Pampasan dirujuk kepada KDA
Dalam pada itu, Sandvik menyatakan isu pampasan perlu dirujuk kepada Kongsberg Defence & Aerospace (KDA).
“KDA ialah pihak kontraktor dalam perkara ini. Malaysia perlu berbincang dengan pihak pembekal,
“Mengikut undang-undang Norway, persoalan itu berada di bawah tanggungjawab lembaga pengarah syarikat tersebut,” jela Sandvik.
Apabila ditanya sama ada kepimpinan Norway akan membantu menyelesaikan isu bayaran balik itu, Sandvik sekali lagi merujuk perkara tersebut kepada pihak kontrak.
“Kami mengadakan dialog yang baik dengan Malaysia dan Malaysia perlu berbincang dengan pihak kontrak pembekal,” jelas beliau.
Malaysia tuntut hampir RM1 bilion
Nettavisen melaporkan Malaysia menuntut hampir RM1 bilion, bersamaan lebih 2.3 bilion kroner Norway, susulan pembatalan kelulusan eksport sistem peluru berpandu tersebut.
Tuntutan itu melibatkan kos langsung dan tidak langsung selepas eksport NSM yang dirancang untuk Malaysia dihentikan.
Laporan media Norway sebelum ini turut menyebut Malaysia telah membayar kira-kira 126 juta euro, bersamaan sekitar 95 peratus nilai kontrak, bagi sistem peluru berpandu tersebut.
Malaysia juga dilaporkan menuntut kos tambahan berkaitan kerja menanggalkan dan menggantikan sistem pada kapal yang dibina untuk menerima peluru berpandu berkenaan, selain kos latihan semula anggota.
Kongsberg sebelum ini menyatakan keputusan lesen eksport dikendalikan oleh pihak berkuasa Norway dan syarikat itu telah mematuhi semua peraturan yang terpakai.
Malaysia kritik keputusan Norway
Isu NSM mencetuskan ketegangan baharu dalam hubungan pertahanan Malaysia-Norway selepas Norway membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu itu yang dirancang untuk melengkapkan kapal tempur pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia.
Dalam ucapannya di IISS Shangri-La Dialogue 2026, Mohamed Khaled mengkritik keputusan unilateral Norway dan menyifatkan sikap berdiam diri banyak pihak terhadap isu itu sebagai mesej berbahaya kepada integriti perjanjian antarabangsa.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan Norway menimbulkan persoalan terhadap kebolehpercayaan komitmen kontrak pertahanan antarabangsa.
Dalam sidang media selepas pertemuan dengan Sandvik pada 31 Mei, Mohamed Khaled berkata episod NSM akan menjadi kecacatan kekal dalam hubungan Malaysia-Norway dan hubungan itu tidak mungkin kembali seperti dahulu.
Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia telah menyampaikan secara terus terang kekecewaan dan kekesalan negara terhadap cara Norway mengendalikan pembatalan tersebut, termasuk kelewatan memaklumkan keputusan, tindakan secara unilateral dan ketiadaan usaha membantu Malaysia mendapatkan semula bayaran yang telah dibuat . – airtimes.my






