Home Pertahanan dan KeselamatanNSM: Malaysia berhak tuntut pampasan daripada Norway, syarikat pembekal – Khaled

NSM: Malaysia berhak tuntut pampasan daripada Norway, syarikat pembekal – Khaled

Menteri Pertahanan menegaskan langkah ke hadapan tidak bermaksud Malaysia melupakan pembatalan eksport NSM tanpa akauntabiliti, ketika hubungan dua hala dengan Norway kini dicemari ketidakpercayaan mendalam

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 1 JUN – Malaysia mempunyai hak untuk menuntut pampasan sewajarnya daripada Norway dan syarikat terlibat susulan pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sejumlah besar wang rakyat telah diperuntukkan bagi program tersebut dan Malaysia tidak boleh dipaksa menerima kerugian itu tanpa akauntabiliti.

Beliau berkata, Malaysia sememangnya sedang bergerak ke hadapan dan giat meneroka penyelesaian alternatif bagi memenuhi keperluan pertahanan negara.

Namun, tegasnya, bergerak ke hadapan tidak bermaksud melupakan atau menerima tindakan Norway tanpa pertanggungjawaban.

“Malaysia sedang bergerak ke hadapan. Malah, Malaysia sedang giat meneroka penyelesaian alternatif bagi memenuhi keperluan pertahanan negara.

“Namun, bergerak ke hadapan tidak bermaksud melupakan atau menerima sesuatu tanpa akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Malaysia hilang wang, masa dan peluang

Mohamed Khaled berkata, sekiranya Norway memaklumkan lebih awal mengenai pembatalan lesen eksport NSM, dana yang telah diperuntukkan bagi program tersebut boleh digunakan untuk tujuan lain.

Sebaliknya, Malaysia bukan sahaja menanggung kerugian kewangan, malah turut kehilangan masa dan peluang yang amat bernilai.

“Malaysia mempunyai hak untuk menuntut pampasan yang sewajarnya daripada Norway dan syarikat yang terlibat.

“Sejumlah besar wang rakyat telah pun diperuntukkan bagi program ini,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, kesan pembatalan itu tidak boleh dilihat dalam ruang sempit sebagai isu bayaran semata-mata.

Beliau berkata, pembatalan tersebut telah menjejaskan keperluan pertahanan negara dan memberi kesan kepada perancangan keupayaan aset strategik.

Pengganti NSM bukan mudah

Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa mencari pengganti kepada sistem NSM bukan proses mudah.

Menurut beliau, sistem peluru berpandu secanggih itu tidak boleh digantikan begitu sahaja dalam tempoh singkat.

Mengenal pasti alternatif yang sesuai, merundingkan kontrak baharu dan mengintegrasikan sistem pengganti ke dalam platform sedia ada memerlukan masa serta sumber yang besar.

“Perlu difahami bahawa mencari pengganti kepada sistem Naval Strike Missile bukanlah sesuatu yang mudah.

“Sistem secanggih ini tidak boleh digantikan begitu sahaja dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Beliau berkata, implikasi pembatalan eksport NSM jauh melangkaui kerugian kewangan kerana ia turut menjejaskan pertahanan dan keselamatan negara.

“Episod ini melangkaui pertikaian kontrak dua hala.

“Ia telah meletakkan pertahanan dan keselamatan negara dalam kedudukan yang terjejas,” katanya.

Norway perlu terima akibat

Mohamed Khaled berkata, mesej jelas perlu disampaikan kepada Norway dan komuniti pertahanan antarabangsa bahawa tindakan seperti itu tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa pertanggungjawaban.

Beliau menegaskan, sekiranya pelanggaran komitmen pertahanan tidak membawa sebarang kesan yang bermakna, perkara sama boleh berulang pada masa hadapan.

“Norway mesti dipertanggungjawabkan dengan cara yang benar-benar memberi kesan sebagai pengajaran dan pencegahan, bukannya diberikan laluan mudah untuk berdamai tanpa sebarang pertanggungjawaban,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan itu turut membimbangkan kerana ia menunjukkan kecenderungan apabila komitmen dan kontrak boleh diketepikan atas pertimbangan politik atau ideologi.

Katanya, keadaan tersebut melemahkan kepercayaan terhadap perjanjian antarabangsa.

Mohamed Khaled berkata, negara kecil dan kuasa pertengahan bergantung kepada persekitaran antarabangsa yang stabil dan boleh diramal, dengan setiap komitmen serta obligasi dihormati.

Jika negara atau syarikat boleh menarik diri daripada komitmen tanpa akauntabiliti, ia akan mewujudkan duluan berbahaya kepada kerjasama pertahanan, ekonomi dan strategik pada masa hadapan.

Pampasan bukan sekadar wang

Mohamed Khaled berkata, pampasan dalam isu NSM bukan sekadar soal mendapatkan kembali wang yang telah dibelanjakan.

Sebaliknya, tuntutan itu perlu mencerminkan keseluruhan kesan akibat pembatalan eksport tersebut terhadap Malaysia.

Menurut beliau, jika Norway benar-benar menghormati prinsip tata kelola antarabangsa berasaskan peraturan serta menghargai hubungan lama dengan Malaysia, negara itu wajar menyokong proses pampasan yang adil dan munasabah.

“Pampasan bukan sekadar soal mendapatkan kembali wang yang telah dibelanjakan.

“Jika Norway benar-benar menghormati prinsip tata kelola antarabangsa berasaskan peraturan serta menghargai hubungan yang telah lama terjalin dengan Malaysia, maka Norway wajar menyokong proses pampasan yang adil dan munasabah,” katanya.

Beliau berkata, proses itu perlu mengambil kira keseluruhan kesan akibat pembatalan tersebut.

Hubungan dicemari ketidakpercayaan

Mohamed Khaled berkata, Malaysia sedang bergerak ke hadapan, namun Norway masih bertanggungjawab memberikan akauntabiliti dan ketelusan kepada Malaysia serta rakyatnya.

Beliau menyifatkan tindakan Norway dalam episod NSM sebagai tidak wajar dan mencerminkan sikap angkuh yang tidak boleh dipandang ringan.

“Malaysia sedang bergerak ke hadapan. Namun, Norway masih bertanggungjawab memberikan akauntabiliti dan ketelusan kepada Malaysia serta rakyatnya,

“Tindakan Norway dalam episod ini adalah tidak wajar dan mencerminkan sikap angkuh yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Menurut beliau, hubungan dua hala Malaysia-Norway kini dicemari ketidakpercayaan yang mendalam dan keadaan tidak boleh diteruskan seperti biasa.

Beliau menegaskan, langkah untuk bergerak ke hadapan tidak boleh mengorbankan prinsip yang menjadi asas kepada tingkah laku antarabangsa yang bertanggungjawab.

Kenyataan itu turut selari dengan pendirian Mohamed Khaled ketika berucap di IISS Shangri-La Dialogue 2026, apabila beliau menyifatkan tindakan Norway membatalkan eksport NSM sebagai isu yang melangkaui pertikaian kontrak dua hala.

Beliau berkata, tindakan sebuah negara yang sinonim dengan Hadiah Nobel Keamanan membatalkan komitmen pertahanan terhadap Malaysia menimbulkan persoalan terhadap kebolehpercayaan perjanjian antarabangsa dan integriti aturan antarabangsa berasaskan peraturan.

Dalam sidang media selepas bertemu Menteri Pertahanan Norway, Tore O. Sandvik di Singapura pada 31 Mei, Mohamed Khaled turut menyifatkan episod NSM sebagai kecacatan kekal dalam hubungan Malaysia-Norway.

Beliau berkata hubungan dua hala itu tidak mungkin kembali seperti dahulu selepas Malaysia menyampaikan secara terus terang kekecewaan terhadap kelewatan Norway memaklumkan pembatalan lesen eksport, keputusan yang dibuat secara unilateral dan ketiadaan usaha membantu Malaysia mendapatkan semula bayaran yang telah dibuat.

Isu NSM tercetus selepas Norway membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal itu yang dirancang untuk melengkapkan kapal tempur pesisir atau (Littoral Combat Ship, LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pembatalan tersebut menimbulkan persoalan terhadap kebolehpercayaan komitmen kontrak pertahanan antarabangsa, khususnya apabila program itu melibatkan wang rakyat, masa, perancangan keupayaan dan kepentingan keselamatan negara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply