Home Pertahanan dan KeselamatanTangani isu kekurangan peluru: Mindef meterai kontrak Pusat RM150 juta dengan Ketech Asia

Tangani isu kekurangan peluru: Mindef meterai kontrak Pusat RM150 juta dengan Ketech Asia

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 14 JUL– Kementerian Pertahanan mengambil langkah memperkukuh rantaian bekalan peluru tempatan melalui mekanisme Kontrak Pusat dengan Ketech Asia Sdn Bhd bagi menangani isu kekurangan peluru dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut jawapan bertulis Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Dewan Rakyat, kontrak yang diselaraskan Kementerian Kewangan itu melibatkan pembekalan peluru senjata laras kecil, iaitu peluru 9mm dan 5.56mm, kepada agensi kerajaan di seluruh negara.

“Kontrak tersebut dianggarkan bernilai RM150 juta bagi tempoh tiga tahun,” kata Khaled Nordin.

Langkah itu dinyatakan bagi menjawab soalan Dato’ Khlir Mohd Nor (Ketereh) yang meminta Kementerian Pertahanan menyatakan tindakan diambil bagi menyelesaikan masalah kekurangan peluru dalam ATM.

Pada masa sama, kementerian turut memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan melalui pengoperasian kilang pembuatan peluru oleh Ketech Asia di Lipis, Pahang.

“Kilang itu kini berkeupayaan menghasilkan peluru kaliber 9mm dan 5.56mm sehingga 120 juta butir setahun, selain merancang pengeluaran peluru kaliber 7.62mm dan 12.7mm,” jelasnya.

Sehubungan itu, bagi memastikan kualiti peluru yang dibekalkan memenuhi keperluan operasi ATM, Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) melaksanakan khidmat kepakaran teknikal, ujian dan penilaian terhadap peluru yang dihasilkan.

Menurut kementerian, langkah itu bagi memastikan peluru berkenaan memenuhi spesifikasi serta standard yang ditetapkan ATM.

Dalam pada itu, Kementerian turut menggalakkan pembangunan komponen kritikal peluru oleh industri tempatan selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).

Langkah itu bertujuan mengukuhkan rantaian bekalan domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply