PASIR GUDANG, 7 JUL – Rakyat berharap sesiapa sahaja yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 dapat memberi keutamaan kepada kepentingan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik.
Wakil rakyat yang dipilih perlu memberi perhatian terhadap isu harian seperti kos sara hidup, kebajikan golongan rentan serta kemampuan mendapatkan kediaman yang bersesuaian.
Seorang peniaga, Ali Sham, 40, berkata calon yang memenangi pilihan raya perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan selepas diberi mandat.
Beliau berkata perhatian perlu diberikan kepada golongan yang memerlukan termasuk ibu tunggal, anak yatim dan warga emas yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan.
“Saya berharap sesiapa sahaja yang menang nanti, tidak kira daripada pihak mana, fikirkanlah kepentingan rakyat.
“Lihatlah isu ibu tunggal, anak yatim dan orang tua kerana mereka juga memerlukan perhatian,” katanya ketika ditemu bual oleh pihak Air Times di Johor Jaya.
Ali berkata kos sara hidup ketika ini menjadi antara perkara utama yang perlu diberi perhatian, terutama melibatkan harga barangan keperluan serta kadar sewa rumah.
Menurut beliau, peningkatan kadar sewa rumah memberi tekanan kepada keluarga yang bergantung kepada pendapatan bulanan.

Ali Sham berkongsi pandangan ketika ditemu bual Air Times di Johor Jaya menjelang PRN Johor 2026. Foto: Air Times
“Sewa rumah di kawasan ini banyak yang sudah melebihi RM1,000. Kalau boleh, harga sewa rumah perlu dilihat supaya rakyat masih mampu untuk menyewa,” katanya.
Beliau turut berharap bantuan kepada rakyat dapat mengambil kira perubahan kos kehidupan semasa kerana peningkatan harga barangan memberi kesan kepada perbelanjaan keluarga.
“Bantuan RM100 untuk satu keluarga pada masa sekarang tidak cukup dengan kos sara hidup semasa. Kalau boleh, jumlah bantuan itu perlu ditambah,” katanya.
Selain itu, Ali berharap harga barangan keperluan seperti makanan dapat dipantau supaya beban rakyat dapat dikurangkan.
Pandangan penduduk Johor Jaya menunjukkan bahawa isu ekonomi harian terus menjadi antara perkara yang diberi perhatian menjelang PRN Johor 2026.
Selain pembangunan negeri, rakyat turut melihat kemampuan kerajaan yang bakal dipilih dalam memastikan kebajikan masyarakat terus terbela.
Johor merupakan antara negeri utama negara dari segi ekonomi, perdagangan dan perindustrian. Oleh itu, kestabilan pentadbiran negeri perlu bergerak seiring dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat. – airtimes.my
