GUA CHEMPEDAK, 17 Jul – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau mempunyai dokumen yang menunjukkan bekas menteri daripada UMNO yang meninggalkan parti itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mempunyai rekod tidak bersih.
Beliau berkata, bekas menteri berkenaan banyak melakukan penyelewengan ketika mentadbir negara.
“Ramai mantan menteri bersama mereka (pembangkang) yang tinggalkan UMNO, saya nak bagi ingatan, mereka cakap berdegar kata (Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) penipu, Anwar penipu, mereka pura-pura Islam,
“Hang (bekas menteri) tengok muka di cermin, mantan menteri ada yang pernah ‘text’ pada saya minta usah bercakap soal rasuah dan tatakelola, minta saya bekerja,
“Itu saya bercakap dengan Elon Musk; hartawan Hong Kong, Richard Lee dan Aramco (Saudi Arabian Oil Company) untuk tingkat pelaburan di Pengerang apa? Itu hasil kita bekerja sebagai pasukan bersama menteri, jabatan, duta semua untuk tingkat ekonomi negara,
“Mantan menteri ini bercakap seolah kita tak buat apa, dialah pejuang Islam, pejuang Melayu. Saya kata tengok cermin, tengok rekod, tengok kontrak, tengok berapa tanah kamu ambil, berapa banyak kamu sakau, kamu jaga baik-baik,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia, hari ini.
Anwar dilaporkan berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Pekan Guar Chempedak, malam tadi.
Hadir sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Dalam masa yang sama, Anwar berkata, adalah wajar UMNO dibersihkan daripada bekas menteri terbabit kerana sekiranya mereka kekal bersama parti itu, mereka tidak ada tempat di dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Sementara itu, Pengerusi PH turut dilaporkan mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin merancang untuk mengharamkan UMNO ketika berkuasa sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Jelasnya, mereka ada berbincang mengenai rancangan itu bersama Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu serta Lim Guan Eng yang ketika itu Setiausaha Agung DAP dan mereka turut tidak bersetuju dengan rancangan tersebut.
“Saya cerita pengalaman bagaimana Dr Mahathir dan Muhyiddin pakat untuk haramkan UMNO, saya ke rumah Muhyiddin, memang tegang. Saya lawan UMNO masa itu, tetapi saya tak setuju haramkan UMNO,
“UMNO ada sejarah sendiri, sejarah perjuangan kebangsaan, ini parti ibu bapa saya. Saya beza pendapat, tapi haramkan itu bukan penyelesaian.
“Kita tak boleh padam sejarah, alasan apa nak haramkan? Kalau dalam politik kita lawan, dia kata tak boleh, keputusan sudah dibuat,” tegasnya lagi. -airtimes.my